KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) selepas memenuhi tempoh kelayakan serta menjalani proses saringan dan penilaian yang sama seperti calon lain.
Justeru kata Jabatan Penjara, dakwaan Peter diberikan layanan istimewa atau dwistandard adalah tidak tepat sebaliknya setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan.
Menurutnya, PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan status atau pengaruh dengan status individu bukan kriteria yang memberikan kelebihan atau pengecualian daripada proses kelayakan serta penilaian.
“Pelepasan melalui PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan mahkamah diketepikan, sebaliknya Peter masih menjalani tempoh hukuman dalam komuniti dan tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan.
“PBSL antara mekanisme Pemulihan Dalam Komuniti yang dilaksanakan secara berstruktur bagi prospek yang memenuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
“Bagi dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman namun pemenuhan tempoh itu tidak memberikan kelayakan secara automatik,” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan kenapa Pakatan Harapan (PH) memberikan layanan berbeza dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau memberikan contoh kes berprofil tinggi melibatkan bekas Menteri Sabah, Peter Anthony, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Mac 2025 dan diberikan parol selepas kira-kira setahun melalui mekanisme di bawah pentadbiran Kementerian Dalam Negeri.
Pada 25 Mac, Peter yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang, Selangor atas sabitan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilaporkan dibebaskan melalui PBSL kira-kira dua minggu sebelum itu dan berada di Sabah.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara memberitahu, pelepasan PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan mahkamah diketepikan, sebaliknya Peter masih menjalani tempoh hukuman dalam komuniti dan tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan.
“Antara saringan dan penilaian dilakukan ialah sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan, penyertaan dalam Program Pembangunan Insan, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan dan keperluan pemantauan selepas pelepasan,’’ kata kenyataan berkenaan.
Jabatan itu juga memaklumkan penilaian dan pertimbangan PBSL pada peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia dibuat melalui Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan oleh Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.
Mekanisme itu bagi memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek selaras dengan proses yang ditetapkan.- 12 September, 2026
