KUALA LUMPUR – Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir secara rasmi diturunkan daripada takhta Kerajaan Negeri Sembilan dan digantikan oleh Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan terkini ini berlaku selepas kenyataan awal Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lassim semalam, yang menjelaskan mengenai peranan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri berhubung isu berkenaan, sekali gus menegaskan bahawa kuasa bagi menurunkan dan memilih takhta adalah di bawah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat dan bukannya kuasa Kerajaan Negeri.
Keputusan rasmi pertukaran takhta berkenaan dicapai secara kolektif dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026 yang bersidang pada Selasa, 15 September 2026, dipengerusikan Ismail.
Menurut kenyataan media barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, langkah tersebut diambil bagi menjunjung tinggi ketetapan dan proklamasi yang dibuat oleh YTM Undang Yang Empat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Adalah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.”
“Bagi melaksanakan sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat menurut proklamasi Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 tersebut, maka adalah dengan ini diumumkan secara rasmi bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh YTM Undang Yang Empat dan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuatkuasa serta-merta.”
“Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat,” jelas kenyataan itu.
Proklamasi penurunan takhta mengikut Perkara 10 UUTKNS 1959 dan proklamasi pemilihan mengikut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani serta dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah.
Ia turut ditandatangani oleh Menteri Besar pada 3 Ogos 2026 bagi menyempurnakannya mengikut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959. – 16 September, 2026
