KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu hadapan.
KPM dalam kenyataannya berkata ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen telah diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada tahun 2006.
“Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan tersebut dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.
“KPM berpandangan bahawa ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia,’’ katanya.
Garis panduan pusat tusyen dikeluarkan bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, di mana Menteri Pendidikan ketika itu ialah Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Beberapa pihak sebelum ini menggesa supaya penjelasan dibuat berhubung laporan bahawa pusat tuisyen dikehendaki memenuhi syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera bagi pembaharuan lesen.
Malah pengarah Strategik Kebangsaan MIC, Datuk C Sivaraj mempersoalkan sama ada syarat yang dilaporkan itu akan terpaksa dipatuhi pengendali sedia ada dan sama ada tempoh bertenang akan diberikan sebelum pembaharuan lesen pada 2027.
Sivaraj berkata usaha untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan hak dan kepentingan komuniti bukan Bumiputera melalui syarat pelesenan, ketetapan atau peraturan pentadbiran.
Beliau berkata pemilik perniagaan sedia ada yang telah melaburkan modal sendiri, mengambil risiko dan mematuhi peraturan tidak seharusnya diwajibkan menyerahkan sebahagian daripada ekuiti mereka untuk mendapatkan atau memperbaharui lesen.
Dalam pada itu, KPM juga memaklumkan menghargai sumbangan para pengusaha pusat tuisyen selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia. – 20 September, 2026
