HEADLINES

Malaysia dominasi ASEAN GeoAI Fusion 2026, rangkul enam anugerah

Inovasi AI pemodelan 3D perancangan 5G julang pasukan 'Grabber' sebagai juara keseluruhan, memimpin kejayaan enam anugerah Malaysia pada kemuncak ASEAN GeoAI Fusion 2026

11:18 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih enam anugerah pada ASEAN GeoAI Fusion 2026 termasuk muncul juara keseluruhan menerusi pasukan Grabber sekali gus membuktikan keupayaan bakat tempatan dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi geospatial.

Pada majlis penutupan program itu hari ini, Grabber dinobatkan sebagai juara keseluruhan diikuti Starlink dan Snack Overflow masing-masing di tempat kedua dan ketiga manakala Geovisionaries dari Myanmar serta Kandila dari Brunei melengkapkan lima kedudukan teratas.

Grabber turut merangkul anugerah ASEAN Best GeoAI Innovation manakala AI Slop Final Boss memenangi ASEAN Best Sustainable Development Impact dan Starlink meraih ASEAN Best Spatial Intelligence.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ASEAN GeoAI Fusion 2026 ialah platform yang menghimpunkan bakat muda dari rantau ASEAN untuk membangunkan idea dan penyelesaian berasaskan teknologi AI Geospatial (GeoAI).

“Bagi saya, ini adalah satu program pembangunan bakat… kita nak kumpulkan bakat di rantau ASEAN dan beri mereka ruang untuk membangunkan idea serta projek masing-masing, dengan harapan penyelesaian yang dicadangkan dapat memberi impak yang lebih berkekalan kepada industri,” katanya selepas merasmikan penutupan program berkenaan di sini.

Beliau berkata program sulung anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya menarik seramai 1,112 peserta dari 11 negara anggota ASEAN, dengan 72 peratus terdiri daripada golongan mahasiswa.

Teo berkata MCMC berhasrat mengemukakan cadangan kepada Sekretariat ASEAN supaya ASEAN GeoAI Fusion dapat dijadikan program tahunan atau diadakan setiap dua tahun.

“Kami akan berbincang dengan Sekretariat ASEAN… kalau mereka bersetuju untuk menerima program ini, kami tiada masalah sekiranya ia dijadikan program ASEAN dan dianjurkan oleh negara anggota lain pada masa akan datang,” katanya.

Grabber, yang terdiri daripada Chin Jun Quan, 22, pelajar Sains Komputer di Universiti Malaya (UM), dan Wong Yong Xi, 23, dari Universiti Putra Malaysia (UPM), telah membangunkan Segrit3D, yang menggabungkan pemodelan 3D, data geospatial dan AI bagi menyokong perancangan rangkaian 5G.

Chin berkata projek itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar di seluruh ASEAN, yang masih berdepan cabaran akibat jurang liputan telekomunikasi.

“Sebagai contoh, di Indonesia, masih terdapat kira-kira 2,500 kampung yang langsung tidak mempunyai kesalinghubungan… jadi, kami berhasrat menggunakan AI yang digabungkan dengan data pemodelan 3D untuk membantu menyelesaikan masalah ini, seperti mengenal pasti lokasi terbaik bagi menempatkan tapak sel, tiang pintar dan infrastruktur rangkaian lain,” katanya kepada media.

Pasukan itu membawa pulang dua trofi dan wang tunai termasuk hadiah utama bernilai USD5,000 dan hadiah wang tunai sebanyak USD500.

Snack Overflow, yang terdiri daripada pelajar UM, pula membangunkan penyelesaian menggunakan pemetaan 3D bagi menambah baik perancangan rangkaian telekomunikasi dengan mengambil kira faktor fizikal seperti ketinggian bangunan dan tumbuh-tumbuhan yang boleh mempengaruhi liputan isyarat.

Seorang anggotanya, Teh Xu Zhe, 20, berkata penyelesaian itu berpotensi membantu menjimatkan kira-kira RM198 juta setahun dengan membolehkan pengendali telekomunikasi menilai penggunaan menara dengan lebih baik dan mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi infrastruktur baharu.

“Dunia sebenar bukanlah rata… terdapat banyak faktor fizikal yang perlu kita pertimbangkan seperti ketinggian bangunan dan tumbuh-tumbuhan… kami mendapati bahawa perbezaan antara penggunaan peta 2D dan 3D boleh memberikan impak yang amat besar,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian itu mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk dibangunkan dengan bimbingan pakar industri dalam teknologi geospatial yang membantu mereka memahami cabaran dengan lebih baik dan melakukan penambahbaikan.

Dilancarkan pada Julai lepas, ASEAN GeoAI Fusion 2026 merangkumi dua program latihan intensif bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang GeoAI diikuti hackathon secara maya pada Ogos dan hackathon secara fizikal di Kuala Lumpur dari 19 Sept hingga hari ini. – 23 September, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related