KUALA LUMPUR – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim tiba di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan.
Berdasarkan portal e-kehakiman, Rais, 84, dijadual didakwa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, pagi ini.
Rais, yang juga pengerusi Parti Wawasan Negara hadir ke mahkamah bersama isteri, Puan Sri Masnah Muhamat serta anaknya, Danni Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang.
Perkembangan itu berlaku dua bulan selepas Istana Negeri Sembilan menarik balik dua darjah kebesaran negeri yang sebelum ini dikurniakan kepada Rais.
Pada Julai, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik darjah kebesaran Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) berkuat kuasa serta-merta.
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) (1979) kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
SPNS membawa gelaran Datuk Seri, manakala DSNS membawa gelaran Datuk.
Rais berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dari 2020 hingga 2023 dan memegang beberapa jawatan dalam Kabinet, termasuk Menteri Luar, Menteri Penerangan, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri. – 25 September, 2026
