KUALA LUMPUR – Orang ramai diseru agar tidak memberikan tekanan berlebihan dan memberi ruang serta masa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berada dalam tempoh dukacita selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemergian Allahyarhamahah yang membina rumah tangga bersama Dr Mahathir selama tujuh dekad masih memberi kesan mendalam terhadap emosi dan kesihatan bapanya.
“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun.
“Tentu akan mengambil masa untuk beliau betul-betul menerima hakikat bahawa Allahyarham bonda sudah tidak bersama kita lagi.
“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, malam tadi.
Mengulas mengenai keadaan Dr Mahathir yang kini berada di Institut Jantung Negara (IJN), Mukhriz menjelaskan ia merupakan langkah terbaik buat masa ini kerana berada di kediaman keluarga hanya membuatkan bapanya kerap teringatkan arwah.
“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.
“Hari ini pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” tambahnya.
Justeru, Mukhriz berharap masyarakat dapat menyelami perasaan yang sedang dialami oleh bapanya dan membiarkan beliau pulih mengikut rentak tersendiri.
“Saya merayu sangat-sangat, kalau boleh jangan tekan beliau sangat untuk mengetahui keadaan emosi dan sebagainya.
“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September lalu, sekali gus menamatkan perkongsian hidup lebih 70 tahun bersama Dr Mahathir yang sering dijadikan ikatan teladan rakyat Malaysia. – 2 Oktober, 2026
