KUALA LUMPUR – Tahanan reman terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan rakan sekelasnya di sebuah sekolah di Yong Peng disambung enam hari lagi bermula esok.
Perintah lanjutan reman hingga 15 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi tadi.
Sebelum ini, suspek telah direman selama enam hari bermula 4 Oktober lalu bagi membantu siasatan berhubung kematian tragis Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16.
Dalam kejadian 3 Oktober lalu, mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah kira-kira jam 5.50 petang.
Irene Sofiya kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk proses bedah siasat.
Pihak polis mengesahkan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jenazah Irene Sofiya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad pada Ahad lalu selepas selesai proses bedah siasat. – 9 Oktober, 2026
