KUALA LUMPUR — Pasaran kerja negara bakal menyaksikan pembaharuan struktur upah secara menyeluruh menerusi pelaksanaan gaji minimum baharu RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat terus kepada lebih empat juta pekerja.
Langkah reformasi di bawah Belanjawan Madani 2027 itu menyaksikan peningkatan kadar gaji minimum sebanyak 17.6 peratus atau RM300 berbanding kadar RM1,700 sebelum ini. Pengecualian bagaimanapun diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bernilai jualan bawah RM50 juta bagi memberi ruang penyesuaian model perniagaan.
Selain kenaikan gaji minimum, kerajaan turut memperkenalkan kerangka pendapatan baharu dengan menetapkan kadar upah permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan bahawa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mengumumkan perincian mekanisme pelaksanaan kadar upah baharu graduan itu dalam masa terdekat.
“Kesuma akan mengadakan sesi sidang media dalam masa terdekat bagi memberikan perincian yang lebih jelas mengenai mekanisme pelaksanaan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan,” kata Ramanan dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi sektor gig, kerajaan bersandarkan kerjasama dengan syarikat platform Grab menyuntik pakej pembiayaan bersama bernilai RM160 juta bermula 2027. Inisiatif ini dijangka melonjakkan pendapatan bersih median pemandu e-hailing sehingga RM227 sebulan dan penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan melalui penyelarasan kadar minimum, subsidi penyelenggaraan, dan caruman Perkeso.
Sektor swasta turut digesa menyahut cabaran kerajaan selepas syarikat berkaitan kerajaan (GLIC/GLC) bersetuju menaikkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
“Saya menyambut baik komitmen GLIC dan GLC… Saya menyeru majikan swasta untuk turut menyediakan gaji yang lebih wajar, seiring dengan produktiviti dan sumbangan pekerja,” tambah Ramanan.
Aspek keselamatan sosial turut diperkemas menerusi insentif padanan caruman Perkeso sehingga 50 peratus bagi pekerja gig, pelepasan cukai Perkeso tambahan hingga RM150, serta penanggungan penuh caruman Perkeso oleh Tabung Haji buat 40,000 petugas institusi agama.
Agenda pembangunan modal insan pula disokong menerusi peruntukan TVET rentas kementerian bernilai RM8 bilion, dana latihan HRD Corp RM3 bilion, dan peruntukan khas MITRA sebanyak RM150 juta bagi pembangunan belia India.
“Keutamaan Kesuma ialah memastikan peningkatan gaji disokong oleh kemahiran yang relevan serta perlindungan sosial yang lebih baik. Saya mengajak majikan, penyedia latihan dan syarikat platform untuk bersama-sama menjayakan agenda ini,” kata Ramanan. — 10 Oktober 2026
