KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menyiasat dan bertindak segera susulan pendedahan kumpulan alam sekitar, Greenpeace berhubung syarikat Malaysia dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia, sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, siasatan segera, telus dan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta menentukan kaitan mereka dengan krisis jerebu ini.
Beliau memberitahu, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung akibat pencemaran udara yang berulang setiap tahun.
“Jerebu mengancam kesihatan, meningkatkan risiko penyakit pernafasan, menjejaskan kegiatan ekonomi dan merosakkan alam sekitar.
“Apabila sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu yang serius, anak-anak kehilangan waktu pembelajaran, manakala ibu bapa dan peniaga turut menanggung kesannya. Ini satu bentuk penganiayaan terhadap rakyat yang tidak sepatutnya dibiarkan berulang,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Baru-baru ini, Greenpeace mengenal pasti lebih 20 syarikat perladangan termasuk dari Malaysia dan Singapura yang didakwa terkait dengan penemuan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia pada 2026.
Berdasarkan data sumber kebakaran yang dianalisis kumpulan alam sekitar itu, ia mengesan 6,811 titik sumber asap dari 1 Ogos hingga 1 Oktober di seluruh Kalimantan, Papua, Sumatera, Sulawesi dan Maluku.
Indonesia kini sedang berdepan antara musim kebakaran terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila fenomena El Niño yang semakin kuat meningkatkan suhu dan memburukkan keadaan kemarau, menjadikan kawasan daratan mudah terbakar.
Turut menyumbang kepada kebakaran yang tidak terkawal itu ialah amalan pertanian tebang dan bakar yang telah lama diamalkan, namun sukar dibendung meskipun pihak berkuasa Indonesia berulang kali mengambil tindakan untuk menghentikannya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut menggesa kerajaan supaya mewujudkan tabung pampasan khas yang dibiayai oleh syarikat-syarikat terbabit bagi membantu mangsa jerebu termasuk membiayai kos rawatan kesihatan, pemulihan alam sekitar dan kerugian yang dapat dibuktikan.
Jelasnya, rakyat tidak sepatutnya terus menanggung kos akibat pencemaran yang berpunca daripada syarikat-syarikat terkait, yang terus memperoleh keuntungan berjuta-juta.
“Saya juga menyeru mereka yang terjejas bersama-bersama Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap entiti-entiti syarikat yang terbukti bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh sekadar mengeluarkan kenyataan setiap kali jerebu melanda, sedangkan rakyat terus terdedah kepada risiko kesihatan dan kerugian ekonomi. Tindakan mesti berasaskan bukti dan dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang sah,’’ katanya. – 10 Oktober, 2026
