◉ HEADLINES

Bajet 2027: Kos sara hidup rakyat jadi keutamaan – Anwar

Pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan pengurangan jurang pendapatan, bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

8:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bajet 2027 tidak mampu menyelesaikan semua masalah ekonomi namun menegaskan dasar fiskal kerajaan akan memberi keutamaan kepada pengurangan beban kumpulan yang paling terkesan oleh tekanan kewangan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan pengurangan jurang pendapatan, bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau memberitahu, Bajet 2027 bukan mengenai soal mengatur kewangan namun ia merupakan satu kesepakatan yang terikat dengan ‘waad’ atau ikrar di antara negara, kepimpinan dan rakyat.

“Jadi, kita dengar mungkin lebih pandangan (daripada) pelbagai kelompok, sebab itu dari yang sebesar-besarnya memacu pertumbuhan ekonomi tinggi, sehinggalah (kepada) memelihara kucing.

“Dan tentunya di antara yang penting ialah pekerja, gig dan pendapatan minimum kerana kita kena tahu apa masalahnya. Ekonomi boleh rancak tapi rakyat mungkin terbeban.

“Jadi, inilah yang saya sebut satu falsafah perdekatan yang melihat secara lebih menyeluruh dan itu sebenarnya belanjawan. Belanjawan negara ini adalah belanjawan bagaimana negara bila pegang amanah, jaga sebagai amanah, sebagai satu waad, janji yang mesti melaksanakan dengan sesungguhnya,’’ katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan Madani 2027 yang disiarkan RTM malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam. – Gambar Bernama, 10 Oktober, 2026

Pada Jumaat, Anwar membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada GLIC; sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menjadikan keseluruhan Bajet 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.

Bajet kelima ini bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai kadar inflasi negara, iaitu sekitar dua peratus dan antara yang terendah di dunia namun tekanan tekanan kos sara hidup masih dirasai rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu.

“Apabila orang bertanya mengapa perkara ini tidak dapat dilakukan dua tahun lepas? Kita perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu. Kita perlu menangani hutang, berjimat dan menentukan keutamaan.

Beliau memberitahu, ruang fiskal kerajaan kini bertambah baik hasil pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin, namun penjimatan tersebut perlu dilindungi daripada kembali terhakis akibat ketirisan dan pembaziran.

“Yang utama apa dulu? Kena betulkan, wang mesti dijimatkan. Jangan boros, jangan hilang. Jangan tiris. Jadi kalau dapat kumpul, sekarang dah terkumpul. Ya, dah terkumpul. Jadi daripada terkumpul itu, boleh pulang kepada rakyat.,’’ katanya.

Anwar berkata, kerajaan masih boleh mengurangkan tekanan harga melalui langkah memperkemas rantaian bekalan, memperluas pasar tani dan meningkatkan penjualan barangan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Justeru, Anwar berkata bantuan dan kemudahan kepada rakyat akan disediakan berdasarkan kemampuan kewangan negara, dengan pendekatan lebih bersasar bagi memastikan sumber awam tidak dibazirkan.

Beliau turut memberikan contoh keputusan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat sebagai langkah melindungi pendapatan boleh guna isi rumah.

Beliau berkata harga minyak yang digunakan dalam unjuran awal kerajaan ialah US70 setong namun meningkat kepada kira-kira US$110 setong sedangkan harga petrol RON95 kekal RM1.99 seliter.

Keputusan itu, katanya mencerminkan keperluan kerajaan mengimbangi tekanan fiskal akibat subsidi dengan keperluan mengekalkan kestabilan kos pengangkutan dan kuasa beli rakyat.

“Akhirnya, dalam mengurus ekonomi negara, pendapatan dan kehidupan rakyat biasa menjadi perkiraan,” kata beliau. – 10 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

◉ Related