◉ HEADLINES

Tiada arahan supaya siasatan ke atas Felda ditangguhkan : Anwar

Beliau menegaskan ia lebih baik daripada tiada tindakan langsung dan tindakan yang dilaksanakan perlu telus dan berasaskan fakta

12:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada arahan dikeluarkan supaya siasatan ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditangguhkan.

Meskipun mengakui berlaku kelewatan, namun beliau menegaskan ia lebih baik daripada tiada tindakan langsung dan tindakan yang dilaksanakan perlu telus serta berasaskan fakta

“Kalau ada pendakwaan terpilih, itu lain, tapi saya akui pendakwaan ambil masa.

“Dalam kes Felda, kertas siasatan ulang alik kepada Peguam Negara sampai tiga empat kali. Yang penting adakah kita setuju tindakan diambil daripada elak kecurangan terus berlaku,’’ katanya pada sesi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mempersoalkan mengapa siasatan berkaitan Felda hanya dibuka pada 2026, sedangkan urus niaga yang dipersoalkan didakwa berlaku antara 2010 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kertas putih Felda telah dibentangkan pada 2019 namun selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2022, baru tindakan diambil.

“2022 saya ambil alih, baru dibuka (siasatan). Jawatankuasa dan petugas khas ambil masa setahun, cuma waktunya (tindakan diambil) dianggap sebagai baru ini.

“Ia (Felda) dimaklum pada Jemaah Menteri, tiada yang menghalang siasatan. Cuma dimintanya supaya siasatan itu biar telus,’’ katanya.

Beliau turut mengulas mengenai isu melibatkan Zetrix AI Berhad, di mana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuat laporan polis manakala Suruhanjaya Sekuriti turut membuka fail dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Anwar memberitahu kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat kawal selia, tatakelola dan pengurusan kewangan badan serta agensi kerajaan, dengan sasaran ia dibentangkan serta diluluskan di Dewan Rakyat tahun ini.

Jelasnya, undang-undang itu penting bagi memastikan badan dan agensi kerajaan, termasuk entiti berkaitan Bumiputera, tertakluk kepada peraturan lebih ketat bagi mengelakkan ketidakaturan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

“Insya-Allah akan membentangkan rang undang-undang badan (entiti) milik kerajaan ini untuk kawal selia supaya peraturan itu lebih kemas.

“Jadi mudah-mudahan kita dapat luluskan tahun ini juga supaya semua agensi kerajaan tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat,” katanya.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperketat prosedur kewangan, khususnya dalam kelulusan pelaburan berskala besar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). – 20 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

Red Bull’s Acosta wins MotoGP Sprint, Ducati Lenovo’s Marquez second

Third on the podium is Italian rider Marco Bezzecchi of Aprilia Racing

◉ Related