◉ HEADLINES

Ada syarikat keberatan bayar gaji minimum RM2,000 pada pekerja tempatan, mahu bayar seperti pekerja asing: Johari

Johari berkata gaji median semasa dalam sektor pembuatan ialah RM2,775 berbanding sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebanyak RM4,510

12:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan ada sesetengah syarikat yang keberatan menawarkan gaji bulanan minimum RM2,000 kepada pekerja tempatan, sebaliknya memilih untuk mengekalkan gaji permulaan pada kadar RM1,700, sama seperti pekerja asing.

Menurut Johari, masalah berkenaan turut melibatkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini mencecah 400,000 orang di mana mereka kadang kala ditawarkan gaji sama dengan pekerja asing meskipun memiliki kemahiran teknikal.

Beliau berkata gaji median semasa dalam sektor pembuatan ialah RM2,775 berbanding sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebanyak RM4,510.

“Kita berdepan isu besar apabila syarikat yang telah beroperasi di negara ini selama 10 hingga 20 tahun masih mahu mengambil pekerja asing, sedangkan kita mempunyai kumpulan tenaga kerja seramai 400,000 individu, iaitu graduan TVET.

“Sekarang ini terdapat 2.6 juta pekerja asing, kalau ikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) patut kurangkan pekerja asing ini. Kita berdepan dengan syarikat yang nak pekerja asing.

“Kita ada 400,000 graduan TVET, malangnya syarikat ini nak bayar mereka ini dengan gaji pekerja asing,’’ katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata demikian bagi menjawab daripada Tan Hong Pin (PH- Bakri) yang ingin tahu apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memindah keluar industri pembuatan yang kurang berorientasikan teknologi tinggi.

Johari berkata, keadaan itu turut dipengaruhi perbezaan kemudahan tempat tinggal apabila pekerja asing lazimnya ditempatkan di kediaman yang disediakan majikan, manakala pekerja tempatan perlu menanggung sendiri kos sewa rumah.

Beliau berkata, kebergantungan Malaysia terhadap tenaga kerja asing sejak sekian lama kini menjadi isu kritikal, dengan negara ketika ini menggaji 2.6 juta pekerja asing dan ia tidak termasuk pekerja asing tanpa dokumen sah yang ada ketika ini.

Johari mengakui isu itu bukan mudah untuk diselesaikan dan memberi amaran kegagalan memperbaharui dasar sedia ada boleh membawa kesan jangka panjang.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi namun jika dasar dan polisi ini tidak diselesaikan, ia akan merosakkan negara pada masa akan datang,’’ tegas.

Beliau memberitahu, bagi syarikat yang berurusan dengan kementerian atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mereka akan dimaklumkan bahawa pekerja asing hanya sepatutnya diambil bagi pekerjaan 3D, manakala jawatan lain perlu menawarkan kadar gaji yang bersesuaian. – 2 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

◉ Related