◉ HEADLINES

Kematian Noorizwan: Polis siasat dakwaan beberapa peguam ganggu doktor forensik

Kumar berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Rabu ini, untuk tindakan lanjut

2:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan beberapa peguam menganggu seorang doktor pakar forensik, dalam kes kematian tahanan, Noorizwan Zulkefly.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar, doktor tersebut adalah penjawat awam dan laporan polis telah dibuat oleh beliau.

Siasatan, katanya, dijalankan mengikut Seksyen 506, Seksyen 186 dan Seksyen 189 Kanun Keseksaan.

“Doktor berkenaan merupakan seorang penjawat awam dan laporan polis telah diterima daripada beliau. Siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang merakam keterangan pihak berkaitan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan tanpa kompromi berhubung kematian Noorizwan.

Anwar memberitahu beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu, setakat ini polis telah merakam keterangan 14 individu, termasuk doktor terbabit, tiga peguam yang dikaitkan dengan kes berkenaan serta ahli keluarga Noorizwan.

Mengulas perkembangan siasatan kematian Noorizwan, Kumar berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Rabu ini, untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa siasatan kes kematian Noorizwan telah diambil alih oleh Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman dan disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.

Klasifikasi itu dibuat selepas rakaman percakapan Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz menunjukkan, terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh si mati.

Corak kecederaan itu didapati selari dengan trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri.
Bagaimanapun, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut. – 2 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

◉ Related