KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
AGC dalam kenyataannya hari ini turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.
Sebaliknya, kata AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara berbeza, malah mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.
“Persoalan yang dibangkitkan bukan mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat sebaliknya persoalan yang memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MD.
“Persoalan itu timbul susulan pembayaran denda sebanyak RM50 juta pada 6 November lalu dan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang sama.
“Perintah tersebut, antara lain, menyatakan: “And whereas the said fine amounting to RM 50,000,000 has now been paid into this Court: This is to authorise you to discharge the said Dato’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak […] forthwith.
“Pada masa sama, perintah tersebut turut menyatakan Datuk Seri Mohd Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah, atau sama ada perintah tersebut membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai,’’ katanya.
AGC berkata demikian bagi menjawab dakwaan oleh pasukan peguam Najib, Shafee & Co., yang mendakwa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasanya, ingkar terhadap titah diraja, mengetepikan perintah mahkamah serta menyebabkan penahanan Najib secara tidak sah.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Dalam pada itu, AGC juga memberitahu, persoalan berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan hukuman penjara dalam kes tersebut hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC Intemational selesai dijalani.
Malah, kata AGC, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu dan sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, maka tidak timbul persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman tersebut selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Sebaliknya, sekiranya hukuman SRC International telah selesai dari segi undang-undang, maka perlu ditentukan kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB. Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,’’ katanya.
AGC menyatakan adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan Peguam Negara telah mengambil alih prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda.
Justeru, AGC berpandangan saluran yang sewajarnya untuk menyelesaikan persoalan ini ialah melalui mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, supaya keputusan dan arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpа menjejaskan kedudukan mana-mana institusi.
AGC tegaskan penentuan segera oleh mahkamah adalah penting
Tegasnya, persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa penjara hendaklah ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah-perintah yang terpakai dan sebarang dakwaan atau sindiran Peguam Negara ataupun pihak tertentu telah mengarahkan pihak berkuasa penjara bertindak secara tidak sah tidak seharusnya dikemukakan sebagai suatu kesimpulan tanpa asas fakta yang jelas.
“AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai suatu penghinaan atau penderhakaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Dakwaan itu tidak berasas berdasarkan persoalan undang-undang yang dibangkitkan AGC dan tanggungjawab untuk memastikan sesuatu titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat, selaras perintah mahkamah yang berkuat kuasa, merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan undang-undang, bukannya suatu tindakan mengingkari titah Baginda.
“AGC ingin menegaskan penentuan segera oleh mahkamah adalah penting bukan sahaja bagi memastikan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat dan hukuman dalam kes 1MDB dibuat menurut undang-undang, malah bagi memelihara hak-hak Datuk Seri Mohd Najib sendiri.
“Sekiranya mahkamah memutuskan hukuman dalam kes SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman tersebut boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya dan sebaliknya, sekiranya hukuman tersebut masih berkuat kuasa, pelaksanaannya hendaklah mematuhi terma Perintah Pengampunan Bersyarat serta mana-mana perintah Mahkamah yang berkaitan,’’ katanya.
Atas sebab tersebut, AGC berpandangan persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk segera kepada mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.
AGC menggesa semua pihak supaya tidak membahaskan perkara itu menerusi media dan memberi ruang kepada badan kehakiman untuk menentukan pelaksanaan undang-undang terhadap perintah berkenaan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang. – 7 November, 2026
