◉ HEADLINES

Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong secepat mungkin, perjelas pengampunan bersyarat Najib

Perdana Menteri berkata langkah itu perlu, bagi menjelaskan kekangan undang-undang terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap satu lagi kes membabitkan Najib, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar  supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin bagi memohon ampun dan menjelaskan isu berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia bagi menjelaskan isu perundangan melibatkan baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasi terhadap satu lagi kes membabitkan Najib, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau menegaskan kuasa dan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dipertikaikan, sebaliknya isu yang perlu diperjelaskan ialah berkaitan pelaksanaan titah berkenaan dalam konteks kes kedua yang membabitkan Najib.

“Saya telah minta supaya Peguam Negara segera menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong memohon ampun.

“Selain itu menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi ada masalah kerana melibatkan kes kedua iaitu kes 1MDB,” katanya, lapor Bernama.

Anwar berkata demikian selepas melancarkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam pada itu, menegaskan ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

AGC dalam kenyataannya hari ini turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.

Sebaliknya, kata AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara berbeza, malah mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.

Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, semalam.

Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 7 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

◉ Related