KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang membangkitkan isu ambiguiti titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas selesai mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Wan Saiful yang juga Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), mempertikaikan kenapa perkara yang tidak jelas dalam isu berkenaan tidak dibangkitkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan.
Sedangkan Dusuki, katanya, adalah anggota Lembaga Pengampunan.
“Peguam Negara sendiri merupakan anggota Lembaga Pengampunan. Jika ada perkara yang tidak jelas, mengapa tidak dibangkitkan dan mendapatkan penjelasan ketika mesyuarat berlangsung?
“Kenapa slow sangat? Habis mesyuarat baru hendak fikir? Perkara ini tidak sepatutnya menjadi afterthought,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful memberitahu, beliau melihat tindakan Dusuki yang membangkitkan persoalan selepas mesyuarat itu seolah-olah hanya menjadi alasan untuk melengahkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Jika Peguam Negara sendiri tidak bersedia melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, lebih baik beliau meletakkan jawatan daripada terus memegang amanah tersebut.
“Kita mungkin berbeza pandangan mengenai Datuk Seri Najib, tetapi soal menghormati dan menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong bukan perkara yang boleh dipilih mengikut kepentingan atau kesukaan politik masing-masing,’’ katanya.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun, dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya berkata, Dusuki juga juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberikan kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Yang di-Pertuan Agong bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Sultan Ibrahim turut bertitah perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.
Pada Sabtu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian, dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.
AGC memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
Najib, 73, selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pada Jumaat.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 8 November, 2026
