KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah di Jalan Langgak Duta, di sini, hari ini menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang.
Media melaporkan, Najib meninggalkan kediamannya itu pada jam 10.30 pagi dengan menaiki Proton X70 dengan diiringi kenderaan Jabatan Penjara Malaysia dan polis.
Ia merupakan solat Jumaat pertama Najib selepas menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Portal Sin Chew melaporkan Najib, kembali semua ke kediamannya pada jam 6.27 petang tadi.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara mengesahkan kepada media bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang.
Pada Khamis, anak Najib, Datuk Mohd. Nazifuddin memaklumkan bapanya akan menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penjara.
Ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata bekas Perdana Menteri itu tertakluk pada empat kategori syarat utama yang ditetapkan Lembaga Pengampunan menerusi pengampunan bersyarat pada 18 September lepas.
Syarat berkenaan merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi, selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
Antara lain, Najib juga tidak dibenarkan membuat kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian atau terlibat dalam aktiviti politik.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di ibu negara yang berkuat kuasa serta-merta. – 13 November, 2026
