KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran besar untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu di Melaka tatkala kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin kukuh.
Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Syaza Shukri berkata, keadaan itu sekali gus memberikan tamparan hebat kepada PH.
Syaza berkata, kemerosotan sokongan terhadap PH sebahagian besarnya didorong oleh pengundi bukan Melayu, manakala pengundi Melayu sememangnya telah beralih menyokong BN dan PN sejak pilihan raya terdahulu.
“Ketiadaan kerjasama antara BN-PN dalam pilihan raya sebelum ini menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru, sekali gus memecahkan undi Melayu. Keputusan mereka untuk bekerjasama kali ini menghapuskan perpecahan itu dan mengukuhkan kedudukan bersama.
“Sejujurnya, PH tidak pernah benar-benar mempunyai peluang untuk meraih undi Melayu. Bagi saya kemerosotan sokongan terhadap PH adalah lebih daripada pengundi bukan Melayu. Pengundi Melayu memang sebelum ini sudah menyokong BN dan PN cuma sebelum ini (pertandingan) tiga penjuru. Kali ini bila BN-PN bekerjasama ia memberi kemenangan besar,” katanya kepada Scoop.

Syaza berkata, konsep penyatuan ummah turut mendapat momentum susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mendorong pengundi Melayu untuk memberikan sokongan kepada kerjasama BN-PN.
Beliau turut mengenal pasti kegagalan PH mendekati pengundi muda secara berkesan, yang merangkumi kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan pengundi, sebagai satu lagi kelemahan gabungan itu, khususnya dari segi kehadiran media sosial dan penjenamaan yang kurang agresif.
“Pengundi muda memang merupakan segmen pengundi yang sangat penting, dalam 25 peratus. Mereka ini yang selalu disebut sebagai pengundi atas pagar dan membuat keputusan berdasarkan informasi yg mereka dapat.
“PH kurang agresif di media sosial dari segi branding. BN terutama calon-calon seperti Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berjaya menawan hati pengundi yang kita tidak berapa nampak bagi calon PH,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi berkata, prestasi hambar PH mendedahkan kesukaran berterusan gabungan itu untuk mengembangkan pengaruhnya di luar kawasan bandar dan kelompok pengundi sedia ada.
Walaupun gabungan itu masih mengekalkan sokongan yang agak kukuh di beberapa kawasan bandar, PH bergelut untuk mendapatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu, yang pengundinya lebih mengutamakan kestabilan politik, prestasi pentadbiran dan keyakinan terhadap kepimpinan tempatan.
Beliau turut menyentuh jurang yang semakin ketara antara agenda reformasi PH dengan persepsi masyarakat terhadap prestasi Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Kerjasama antara PH dan BN di peringkat Persekutuan, meskipun kedua-dua parti bertanding sesama sendiri di Melaka, turut mengaburkan identiti politik masing-masing dan berpotensi menyukarkan usaha mereka menarik sokongan pengundi.
“Penurunan jumlah kerusi tidak semestinya menunjukkan penolakan sepenuhnya terhadap PH. Apa yang lebih ketara ialah kegagalannya mengembangkan asas sokongan dalam landskap politik yang semakin berubah,” katanya.

Awang Azman mengaitkan prestasi cemerlang BN dengan keyakinan terhadap kepimpinan negeri, jentera pilihan raya akar umbi yang berkesan serta penyatuan sokongan Melayu menerusi kerjasamanya dengan PN.
Beliau berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendapat manfaat daripada persepsi bahawa pentadbiran negeri mempunyai kesinambungan, pengalaman memerintah dan kestabilan politik.
Perkara itu dapat dilihat menerusi prestasi Ab Rauf di Tanjung Bidara apabila majoriti kemenangannya melonjak daripada 364 undi pada PRN 2021 kepada kira-kira 8,650 undi pada pilihan raya Sabtu lalu.
Awang Azman berkata, isu kos sara hidup turut menjadi pertimbangan penting apabila pengundi semakin menilai parti politik berdasarkan keupayaan mereka menangani tekanan ekonomi, dan bukannya janji kempen semata-mata.
Kontroversi berhubung isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga mungkin menggerakkan sokongan tradisional penyokong Umno, meskipun beliau mengingatkan agar perkara itu tidak dilihat sebagai satu-satunya faktor kemenangan BN.
Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan BN mentadbir serta kemampuannya menyediakan kestabilan politik.
Mengenai kerjasama BN-PN, Awang Azman berkata, persefahaman antara kedua-dua gabungan itu berjaya mengelakkan perpecahan undi Melayu, sekali gus membolehkan mereka menyelaraskan jentera pilihan raya dan meningkatkan peluang menewaskan PH.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan gabungan pilihan raya tidak semestinya membawa kepada penyatuan sepenuhnya pengundi Melayu kerana sokongan masih bergantung kepada penerimaan terhadap calon, pengaruh parti tempatan dan kesetiaan penyokong masing-masing.
Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PH memenangi empat kerusi dan PN memperoleh tiga kerusi.
Keputusan itu menyaksikan gabungan BN-PN memperoleh 24 kerusi, melepasi jumlah 19 kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.
Sementara itu, pakar geopolitik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, angka keseluruhan peratusan keluar mengundi mungkin tidak menggambarkan perbezaan tahap penyertaan pengundi antara kawasan dan menyifatkan kadar keluar mengundi yang lebih rendah di kubu tradisi PH mungkin menyumbang kepada prestasi buruk gabungan itu.
Beliau berkata, pengundi Melayu dilihat keluar mengundi dalam jumlah lebih tinggi, manakala pengundi bukan Melayu, yang secara tradisinya membentuk sebahagian besar daripada asas sokongan PH, mungkin kurang terdorong untuk menunaikan tanggungjawab itu.
Azmi berpandangan, sebahagian pengundi mungkin melihat BN sebagai terlalu dominan dalam keadaan politik semasa, sekali gus menyebabkan mereka kurang terdorong untuk membuang undi.
Persepsi sama mungkin turut mempengaruhi pengundi muda yang bekerja di Johor dan Lembah Klang, yang berkemungkinan membuat keputusan untuk tidak pulang ke Melaka kerana beranggapan keputusan pilihan raya sudah boleh dijangka.
“Golongan yang kurang cenderung untuk keluar mengundi sememangnya pengundi bukan Melayu, yang kebanyakannya merupakan penyokong PH.
“Bagi pengundi muda, ramai daripada mereka mungkin bekerja di Johor atau Lembah Klang. Mereka mungkin merasakan tidak berbaloi untuk pulang mengundi kerana sudah menjangkakan parti mana yang akan memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri.
“Oleh itu, mereka mungkin merasakan tidak perlu mengeluarkan wang dan mengorbankan masa untuk pulang mengundi,” katanya. – 15 November 2026
