KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pernah mencadangkan supaya pegawai lain seperti Setiausaha Jemaah Menteri (Ketua Setiausaha Negara) menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat Datuk Seri Najib Razak atas alasan ia membawa implikasi politik yang besar serta kesan kepada kerajaan.
Berdasarkan Fasal 1.17 minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada 18 September lalu, Yeoh membangkitkan isu penularan perintah pengampunan palsu di media sosial sebelum merujuk Seksyen 14 Akta Perwakilan Kuasa 1956 [Akta 358] untuk melepaskan tugas menandatangani dokumen tersebut.
Susulan cadangan itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengambil maklum peruntukan Seksyen 14 Akta 358 dan memohon sedikit masa bagi membuat semakan serta memberikan pandangan undang-undang.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan ditolak serta-merta oleh pihak istana dan anggota Lembaga Pengampunan atas faktor bidang kuasa dan kedudukan dalam mesyuarat.
Menurut Fasal 1.19 dan 1.20, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Wira Haji Nazim Mohd Alim menegaskan tidak sesuai untuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) menandatangani perintah tersebut kerana tidak terlibat dalam perbincangan, manakala Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa KSN bukanlah anggota Lembaga Pengampunan.
Anggota Lembaga Pengampunan, Tan Sri Razarudin Husain (Fasal 1.21) pula mengingatkan bahawa tindakan meminta pihak lain menurunkan tandatangan akan mencetuskan isu lebih besar kerana Yeoh seolah-olah tidak hadir ke mesyuarat tersebut, selain menyarankan menteri itu membuat laporan polis berhubung dokumen palsu yang tular.
“Setelah menimbang pandangan anggota Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong XVII memutuskan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut memandangkan ia merupakan tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),” menurut Fasal 1.22 minit berkenaan. – 18 November, 2026
