◉ HEADLINES

MRCB naik taraf sekolah luar bandar di Lenggong menerusi Sekolah Angkat Madani

Kemudahan penyaman udara untuk guru serta capaian WiFi lebih pantas beri suntikan semangat buat SMK Dato’ Ahmad, buka peluang pelajar bersaing dengan rakan sebaya di bandar

12:18 PM MYT

 

LENGGONG – Sejak beberapa bulan lalu, sekumpulan jurutera dan pegawai daripada pemaju utama, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), berulang-alik sejauh lebih 100 kilometer setiap minggu bagi menaik taraf sebuah sekolah di kawasan pedalaman Perak.

Hari ini, hasil titik peluh mereka dirasai sepenuhnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad di Lenggong oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang jelas terharu dengan usaha berkenaan.

Sebagai seorang bekas guru, Saarani tersentuh apabila MRCB menaik taraf bilik guru serta bilik digital sekolah terbabit di bawah program Sekolah Angkat Madani.

Inisiatif itu bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR) biasa, sebaliknya sarat dengan pengorbanan dan inovasi bagi membantu sekolah luar bandar bersaing secara adil dengan sekolah di bandar.

Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, berkongsi bagaimana kakitangan MRCB turun padang secara peribadi membantu kerja-kerja baik pulih sekolah berkenaan.

Proses tersebut agak mencabar memandangkan sekolah itu mempunyai sumber terhad termasuk capaian digital yang perlahan ekoran kedudukannya di luar bandar, namun menerusi penaiktarafan liputan internet, sekolah berkenaan kini berjaya didigitalkan.

“Kebiasaannya, bilik guru di sekolah luar bandar sering terabai, sedangkan guru-guru kita bertungkus-lumus dalam cuaca panas terik demi mendidik anak-anak kita,” kata Saarani.

Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan (kiri) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) di SMK Dato’ Ahmad, sebuah sekolah luar bandar di Lenggong yang dibantu MRCB menerusi kemudahan penyaman udara dan capaian internet lebih pantas di bawah program Sekolah Angkat Madani. – Gambar Scoop, 21 November, 2026

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu, kemudahan penyaman udara, bilik digital yang dilengkapi sambungan internet tanpa wayar serta sudut studio audio siar (podcast) menjadi motivasi besar buat pelajar di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Saarani turut menggesa agar tugas berkaitan disiplin dikembalikan semula kepada guru disiplin sekolah susulan peningkatan kes buli di sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

Majlis tersebut turut mencipta kenangan manis buat Saarani memandangkan sekolah terkemuka di Lenggong itu merupakan tempat isteri beliau, Datin Seri Aezer Zubin, yang juga pesara guru, pernah berkhidmat.

Lenggong merupakan kawasan ekonomi luar bandar yang tertumpu kepada sektor pertanian, perikanan dan perusahaan kecil, namun kini semakin berkembang sebagai tarikan pelancongan berasaskan geologi selepas diiktiraf sebagai Tapak Rangkaian Geopark Global UNESCO.

Saarani turut menzahirkan penghargaan kepada MRCB atas pembangunan stesen kereta api Ipoh Sentral menerusi projek bernilai lebih RM6 bilion, sambil menegaskan bahawa peranan entiti korporat dalam membantu pembangunan Perak tidak boleh dipandang ringan.

Sementara itu, seorang guru SMK Dato’ Ahmad, Aziah Adam yang akan bersara bulan depan, berterima kasih kepada MRCB kerana menjadikan detik persaraannya begitu bermakna.

“Selama 30 tahun, bilik guru kami hanya menggunakan kipas siling dan kipas meja. Kini, beberapa minggu sebelum saya bersara, saya dan rakan-rakan dapat menanda kertas peperiksaan dalam suasana berhawa dingin.

“Ini adalah hadiah perpisahan yang amat bermakna, membuktikan profesion perguruan mendapat sokongan yang sewajarnya,” kata Aziah.

Beliau berkata sambungan internet tanpa wayar kini jauh lebih pantas berbanding kelajuan purata sebelum ini, selain sekolah itu turut dilengkapi set televisyen pintar yang menyuntik semangat baharu buat warga pendidik.

MRCB merupakan pemaju utama yang berpangkalan di Kuala Lumpur dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan. Ditubuhkan pada 1968 dan disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 1971, syarikat itu terkenal sebagai pemaju utama hab komersial Kuala Lumpur Sentral.

Antara sekolah lain yang turut dijadikan sekolah angkat oleh MRCB ialah SMK Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman, Simpang Ampat di Pulau Pinang, serta SK Guar Jentik dan SK Felda Mata Air di Kangar, Perlis. – 21 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

◉ Related