KUALA LUMPUR – Türkiye pada Sabtu menolak dakwaan bahawa negara itu akan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, kata Pusat Memerangi Maklumat Palsu (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Presidensi Türkiye.
“Dakwaan yang tersebar dalam beberapa media antarabangsa dan media sosial bahawa ‘10,000 rakyat Rohingya akan ditempatkan semula di Türkiye’ adalah tidak berasas.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai kandungan palsu itu,’’ katanya menerusi hantaran di platform X.
DMM turut menyertakan tangkap layar laporan Reuters dan DW Turkish mengenai cadangan penempatan semula berkenaan yang ditandakan sebagai palsu.

Kenyataan itu susulan hantaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid di Facebook pada Jumaat yang mengumumkan sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye.
Menurutnya, mereka akan mengikuti program latihan kemahiran berstruktur sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan bagi menangani kehadiran kumpulan etnik itu di negara ini dengan cara yang lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.
Bagaimanapun cadangan inisiatif berkenaan yang dimuatnaik di Facebook beliau dipadamkan sekali gus menarik perhatian ramai kepada status rancangan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha akhbar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed berkata kenyataan awal mengenai cadangan inisiatif itu dikeluarkan kerana usaha ke arah pelaksanaannya sedang dijalankan dengan matlamat utama untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat.
Shuhaimi berkata beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan sebelum cadangan itu diteruskan.
“Kami kekal komited untuk meneruskan cadangan ini, dan pengumuman lanjut akan dibuat setelah proses yang diperlukan selesai.
“Insya-Allah, kami akan maklumkan perkembangan lanjut dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia mempunyai kira-kira 193,000 pelarian berdaftar dari Myanmar pada akhir Februari, dengan sekitar dua pertiga daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini memutuskan bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya Islam ketika operasi ketenteraannya pada 2017 di utara Negeri Rakhine.
Mahkamah tertinggi PBB itu mendapati Myanmar bertanggungjawab terhadap pembunuhan dan keganasan seksual secara meluas terhadap masyarakat Rohingya, selain mengarahkan pembayaran pampasan serta pelaksanaan langkah-langkah bagi memudahkan kepulangan pelarian dengan selamat. -22 November, 2026
