◉ HEADLINES

Minit Lembaga Pengampunan Najib dinyahklasifikasikan untuk AGC jawab Majis Peguam di mahkamah

Proses berkenaan perlu dimasukkan dalam afidavit balas kerajaan untuk menjawab permohonan semakan kehakiman berhubung tahanan rumah Najib yang difailkan oleh Majlis Peguam

11:55 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinyahklasifikasikan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjawab permohonan semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, proses berkenaan perlu dimasukkan dalam afidavit balas kerajaan untuk menjawab permohonan semakan kehakiman berhubung tahanan rumah Najib.

“Jadi tentunya dokumen itu perlu dinyahklasifikasikan dahulu bagi membolehkan Peguam Negara membuat satu afidavit balas.

“Afidavit hanya akan lengkap jika perkara yang berlaku dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dimasukkan dalam kandungannya,” katanya, yang dipetik dari Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada ada Program PDRM Fun Run di Dataran Merdeka, hari ini.

Saifuddin bagaimanapun dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai pihak yang bertanggungjawab mengklasifikasikan dokumen itu atau sebab kandungannya didedahkan.

Majlis Peguam sebelum ini dilaporkan memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia.

Media melaporkan badan guaman itu memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan pada 18 September lalu.

Sebelum ini, sebuah dokumen yang dipercayai merupakan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-64 bertarikh 18 September 2026 telah tular dan mendedahkan perbezaan pandangan dalam kalangan ahlinya berhubung status penahanan Najib.

Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang didedahkan itu merekodkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh tidak bersetuju dengan keputusan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Dokumen itu turut menunjukkan Yang di-Pertuan Agong telah mengarahkan Yeoh menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat selepas beliau mencadangkan supaya seorang lagi pegawai, termasuk Ketua Setiausaha Negara, menandatanganinya.

Menurut minit berkenaan, Mohd Dusuki berpendapat bahawa bekas perdana menteri itu perlu menjalani hukuman banduan sehingga 2028 sebagaimana pandangan sebelum ini. 

Berikutan pendedahan dokumen itu, Umno menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan dengan tiga isu utama diberikan perhatian iaitu sama ada minit mesyuarat itu telah dinyahklasifikasikan secara rasmi, pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan itu serta skop dokumen yang didedahkan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Pada 6 November lepas, Najib, 73, selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, Najib mula menjalani baki hukuman di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 10 November lalu. – 22 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related