◉ HEADLINES

Khairy ada peluang jadi PM, perlu kerja keras untuk tempoh 10 tahun akan datang : Kian Ming

Bekas pemimpin DAP itu meramalkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri seterusnya, manakala Khairy Jamaluddin perlu merintis laluan sendiri untuk ke jawatan tertinggi negara.

3:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin mungkin perlu menunggu beberapa tahun lagi sebelum berpeluang meletakkan dirinya sebagai calon realistik untuk memegang jawatan tertinggi politik negara, memandangkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih berkemungkinan menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Menurut bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, Khairy, 50, masih mempunyai tempoh 10 tahun untuk membina semula kedudukan politiknya dan meningkatkan pengaruh dalam hierarki kepimpinan parti.

Beliau berkata demikian dalam podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez.

“Ramalan saya ialah Zahid berkemungkinan menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya. Selepas itu, kita tidak tahu kerana pilihan raya sangat dinamik,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu.

Beliau meninggalkan DAP pada 31 Ogos lalu selepas 14 tahun menjadi ahli dan dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen.

Ong, yang menyatakan kesediaan membantu kempen Khairy pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu bertanding, berkata bekas Ketua Pemuda Umno itu perlu bersabar dan menggunakan tempoh mendatang untuk mengukuhkan kedudukan dalam Umno serta Barisan Nasional (BN).

Khairy, yang berpengalaman menjadi menteri di tiga kementerian, dipecat daripada Umno pada 2023 sebelum kembali menyertai parti itu tahun ini.

“Saya fikir Khairy masih muda. Usianya 50 tahun. Dia mempunyai tempoh 10 tahun lagi untuk meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya membantu partinya memenangi pilihan raya akan datang, selain membuka laluan untuknya mendaki hierarki kepimpinan Umno dan BN,” kata Ong.

Ong Kian Ming berkata tempoh Khairy berada di luar politik arus perdana dalam beberapa aspek telah membantu meningkatkan imejnya di mata masyarakat. – Gambar Scoop, 24 November, 2026

Ong, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, berkata laluan Khairy ke jawatan Perdana Menteri perlu bermula dengan mendapatkan kerusi Parlimen dan kembali menyertai kerajaan.

“Selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, beliau perlu menunjukkan prestasi yang berkesan. Saya yakin beliau mampu melakukannya berdasarkan rekod prestasinya sebelum ini. Gunakan peluang itu untuk mencuba merebut jawatan tertentu dalam parti.

“Selain itu, beliau perlu menjalinkan hubungan dengan individu yang boleh membantunya, dan pada masa sama beliau juga mampu membantu mereka,” katanya.

Ong, yang mengenali Khairy hampir 25 tahun, berkata tempoh bekas Ahli Parlimen Rembau itu berada di luar politik arus perdana telah membantu meningkatkan imejnya di mata masyarakat, dalam beberapa aspek.

Beliau merujuk kepada penglibatan Khairy dalam bidang di luar politik, termasuk podcast Keluar Sekejap, penampilan di radio dan syarikat perundingannya, selain peranannya sebagai pemimpin masyarakat yang dipilih di Damansara Heights.

Bagaimanapun, Ong berkata Khairy perlu mengambil iktibar daripada pengalaman politik terdahulu, khususnya persepsi beliau agak sukar didekati.

“Saya fikir beliau sudah mempelajari beberapa pengajaran daripada pengalaman lalu, apabila mungkin ada yang melihatnya sebagai seorang yang agak sukar didekati.

“Ada juga tanggapan beliau mendapat laluan mudah untuk naik, serta mungkin tidak begitu kuat sebagai pemain berpasukan,” katanya.

Ong berkata penglibatan Khairy dalam kempen membantu calon BN pada pilihan raya di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan bagaimana beliau boleh menyumbang kepada usaha pilihan raya gabungan itu.

Beliau turut percaya Zahid menyedari nilai yang boleh dibawa Khairy kepada Umno dan BN, khususnya dalam memperkukuh imej parti di mata masyarakat.

“Saya fikir Zahid juga sedar bahawa KJ akan menjadi aset kepadanya dan mampu membantu Zahid mengukuhkan kedudukan sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.

Ong sebelum ini pernah menyatakan dan sekali lagi mengulangi dalam podcast Trick Lama bahawa beliau bersedia berkempen untuk Khairy pada pilihan raya umum akan datang sekiranya bekas menteri itu diberikan kerusi.

“(Saya juga pernah berkata kepada Khairy) sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri, saya akan menawarkan diri untuk dipertimbangkan bagi menganggotai Kabinetnya,” kata Ong.

Namun, adakah Khairy perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat peluang menjadi Perdana Menteri?

Ong berkata beliau berharap Khairy tidak perlu menunggu sehingga berusia 75 tahun, iaitu usia Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mula memegang jawatan itu.

“Saya tidak fikir KJ mahu menunggu sehingga berusia 75 tahun. Tetapi kita lihatlah,” katanya. – 24 November, 2026

Topics

 

◉ Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

◉ Related