KUALA LUMPUR – Hujahan berhubung semakan kehakiman bagi mencabar perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan didengar pada 17 Mac 2027.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, semasa pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman pada 12 November lalu, jabatan berkenaan telah membangkitkan bantahan terhadap Permohonan Semakan Kehakiman tersebut.
Ia atas alasan keputusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar (non justiciable).
“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
AGC memberitahu, Badan Peguam telah memfailkan Permohonan Semakan Kehakiman bagi mencabar perintah “tahanan di rumah” atau “penahanan di rumah” terhadap Najib yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali ke-64.
Media sebelum ini melaporkan Badan Peguam Malaysia telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan berkaitan perintah tahanan rumah terhadap Najib.
Permohonan itu dikemukakan menerusi firma Amir & Rajpal Ghai, dengan meletakkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama.
Tiga lagi responden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (tidak diwakili) dan Najib.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada 6 November lepas, Najib, 73, selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi.
Susulan itu, Najib mula menjalani baki hukuman di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 10 November lalu. – 24 November, 2026
