KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menggerakkan segala sumber yang ada bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan siasatan berhubung perkara itu dijalankan secara menyeluruh.
Beliau berkata arahan itu susulan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya polis menyiasat dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen berkenaan.
Saifuddin berkata Perdana Menteri telah menjelaskan dua perkara utama di Parlimen hari ini, termasuk sebab minit mesyuarat berkenaan dinyahklasifikasikan.
“Pertama tentang kenapa dinyahklasifikasikan minit Lembaga Pengampunan, iaitu untuk membantu Peguam Negara menyediakan afidavit bagi menghadapi kes yang dibawa oleh Badan Peguam di peringkat mahkamah bagi tujuan semakan kehakiman.
“Kemudian Perdana Menteri menggesa kalau disebut ada elemen kebocoran umpamanya, untuk polis memulakan siasatan. Jadi saya serahkan kepada Ketua Polis Negara untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi mengesan dan menyelesaikannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27), di sini, hari ini.
Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menafikan dakwaan bahawa kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.
Anwar turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu diedarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebaliknya, beliau berkata AGC hanya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas perdana menteri itu sebagai persediaan menghadapi prosiding di mahkamah.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dari sudut perundangan, dokumen yang dinyahklasifikasikan daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) menjadi dokumen awam.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu tidak menghalang polis daripada menyiasat dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen tersebut.
Pada 10 Nov lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib boleh menjalani baki hukuman penjara bagi kesalahan berkaitan SRC International di bawah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta. – 24 November, 2026
