HEADLINES

SPRM nafi tidak hantar notis panggil Justin beri keterangan

SPRM mendapati tiada rekod Justin Lim Hwa Tat yang meninggalkan Malaysia Februari lalu telah masuk kembali ke negara ini

1:13 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Semakan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Jabatan Imigresen mendapati Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Justin Lim Hwa Tat telah meninggalkan Malaysia pada Februari lalu.

“SPRM juga mendapati tiada rekod Justin masuk kembali ke negara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan bagi menafikan dakwaan Justin bahawa pihaknya tidak mengeluarkan notis kepada ahli perniagaan itu untuk direkodkan keterangan.

Justeru SPRM berkata, pihaknya bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Justin dalam hal berkenaan namun menegaskan beliau perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan Suruhanjaya ini berkaitan siasatan kes berkenaan.

Pada Ahad, Justin mendakwa beliau tidak pernah menerima notis daripada SPRM untuk membantu siasatan berkaitan agensi terbabit dan masih belum menerima notis daripada SPRM yang memerlukannya hadir untuk direkod keterangan mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

Justin juga memberitahu beliau secara rasmi melantik Messrs. Gobind Singh Deo & Co. untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan ini berlangsung.

Mengulas lanjut, SPRM memaklumkan pihaknya berusaha mengesan Justin dan telah mengunjungi dua rumahnya di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu untuk menyerahkan notis berkenaan namun mendapati salah sebuah premis tersebut telah dijual manakala satu lagi tidak dihuni olehnya.

“Pada tarikh sama, SPRM juga telah pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor namun Justin tiada di lokasi tersebut,’’ katanya.

Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai 2023 yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah. – 24 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related