Jangan biarkan suara-suara permusuhan cetus persengketaan: Sultan Nazrin

Setiap kali menzahirkan titah, Beta menyedari bahawa Raja Pemerintah berperanan menjadi payung naungan kepada setiap rakyat daripada pelbagai kaum dan pegangan agama yang membuktikan taat setia kepada raja dan negara

12:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak dihanyutkan oleh suara-suara bernada permusuhan yang boleh mencetuskan persengketaan, perselisihan dan perpecahan, terutama selepas hampir 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Menurut baginda, negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat iklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan yang indah serta bertaut kukuh.

“Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia,’’ demikian titah baginda pada Majlis Pelancaran Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Buku Siri Titah Sultan Nazrin Shah II itu mengandungi 34 titah.

“Setiap kali menzahirkan titah, Beta menyedari bahawa Raja Pemerintah berperanan menjadi payung naungan kepada setiap rakyat daripada pelbagai kaum dan pegangan agama yang membuktikan taat setia kepada raja dan negara,’’ titah baginda lagi.

Dalam titah tersebut juga, baginda turut menyentuh mengenai negarawan negara, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman di mana negara telah mengadakan majlis memperingati Allahyarham pada 2 Ogos lalu di Dataran Merdeka, sempena 50 tahun tarikh kembalinya Allahyarham ke Rahmatullah.    

Titah baginda, Dr. Ismail memiliki karakter tepat di luar, tepat di dalam dengan lidahnya bertutur dalam bahasa yang sama meski berhadapan kumpulan yang berbeza.

“Dr. Ismail dikenali dengan semangat kebangsaan Melayu yang tulen, namun beliau berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam masing-masing, dan pentingnya bagi negara ini mempunyai pemimpin yang menuju ke arah mencipta sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dalam kepelbagaian tersebut.

“Ketara Tun Dr. Ismail berpendirian konsisten mengenai komposisi rakyat di negara ini dan pentingnya dilaksanakan perimbangan bentuk dan konsep supaya terbina sebuah negara bangsa yang warganya, meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya dan menganut pelbagai agama, hidup secara harmoni, kukuh berpadu dan teguh bersatu; sama ada beliau menyampaikan ucapan dalam forum antarabangsa, di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di kota New York, mahupun dalam forum anjuran sebuah pertubuhan Melayu, GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) yang berlangsung di kawasan penempatan Melayu di Kampung Baharu, Kuala Lumpur,” titah baginda.

Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dari 1971 hingga 1973, adalah antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Menurut Sultan Nazrin, hari ini usaha untuk memupuk perpaduan semakin diperlukan bagi menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa, atas nama agama.

Tegas baginda, suara-suara bernada permusuhan yang jika tidak segera dibendung, berpotensi besar meracuni pemikiran rakyat untuk curiga mencurigai yang akan berakhir dengan pertelingkahan, perselisihan serta perpecahan.

Dalam titah tersebut, baginda turut menghargai usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan kumpulan titah yang telah baginda zahirkan.

“Usaha DBP ini, insyallah akan membolehkan pemikiran dan pandangan Beta sampai kepada khalayak yang lebih luas. Seorang Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat Perlembagaan serta falsafah yang tersirat di sebalik penubuhan sebuah negara merdeka, difahami, dihayati dan diluhurkan oleh rakyat jelata, agar negara kekal berdaulat, buminya makmur dan warganya hidup secara harmoni dan aman,’’ kata baginda. – 5 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Boycotted due to KK Mart name mix-up, Kedah seafood shop ‘shell’-shocked

Nur Hamidah, the owner of KK Fresh Mart in Kedah, clarified that the acronym stood for Kuala Kedah Fresh Mart, emphasising no association with KK Mart. 

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Related