HEADLINES

REE: Saifuddin diminta berhenti tuduh MB Kedah di pentas politik kerana ia…

Sewajarnya semua tuduhan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menentukannya bersalah atau tidak

5:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digesa menghentikan tuduhan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu unsur nadir bumi (REE) kerana tindakan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, Saifuddin tidak boleh memberi bayangan bahawa perbuatan itu dilakukan Sanusi, memandangkan di bawah perkara 5 klausa 1 Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana individu atau pihak boleh diambil nyawa atau dilucut kebebasan dirinya, kecuali mengikut undang-undang.

Menurutnya, dakwaan dikeluarkan Saifuddin itu juga boleh menjejaskan penyiasatan kes dan mengelirukan rakyat, khususnya di Kedah.

“Proses undang-undang cukup jelas di mana pihak penguatkuasa akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyiasat, kemudian selepas selesai siasatan, pendakwaan akan dibuat, manakala yang menentukan salah atau tidak adalah hakim di mahkamah.

“Dalam sidang media Saifuddin, beliau sendiri mengatakan sebagai Setiausaha Agung PKR, beliau mendesak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) melakukan siasatan sedangkan beliau adalah Menteri Dalam Negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul berkata, sewajarnya semua tuduhan berkaitan dihentikan dan menyerahkannya mengikut saluran undang-undang bagi menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, bukan ‘menjatuhkan hukuman’ di pentas politik.

“Saifuddin juga mengakui bahawa tujuan mendedahkan berkenaan REE tersebut adalah bagi tujuan kepentingan politik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.

“Rakyat sekarang sudah bijak mereka tahu proses undang-undang, rakyat juga inginkan tawaran yang menjamin masa depan mereka,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin mendedahkan Sanusi didenda RM500,000 tahun lalu kerana kesalahan mencuri REE.

Beliau berkata, denda itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke atas Sanusi selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah kerana kegiatan yang dilakukan di Sik.

Namun, MBI Kedah menerusi kenyataan menuntut Saifuddin memperbetul kenyataannya dalam isu berkaitan REE, selain berhenti daripada terus menyebarkan kenyataan yang mengelirukan umum.

Katanya, kekeliruan berlaku apabila Saifuddin juga mendakwa Pengerusi MBI Kedah dikenakan kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong di Sik serta melabel Sanusi sebagai pencuri. – 6 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related