Muhyiddin lepas bebas 4 tuduhan rasuah RM232.5 juta, AGC fail rayuan petang ini

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan

9:55 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

“Justeru, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan kesemua empat pertuduhan. Dengan ini, pemohon dibebaskan dan dilepaskan,” katanya.

Ketika membacakan penghakimannya, Muhammad Jamil juga memutuskan bahawa pertuduhan itu cacat dan tidak berasas dengan Kanun Tatacara Jenayah, sambil menambah bahawa sifat pertuduhan yang kabur menyukarkan Muhyiddin untuk menyediakan pembelaannya.

“Ketiadaan butiran dan notis yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan yang dilakukan, serta penjelasan yang tidak mencukupi tentang bagaimana penyalahgunaan kuasa berlaku, adalah satu pencabulan hak asasi (Muhyiddin) untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Beliau juga menolak hujah pihak pendakwaan sebelum ini bahawa butiran pertuduhan akan didedahkan semasa prosiding perbicaraan.

Bercakap kepada pemberita di kompleks mahkamah di sini selepas keputusan itu disampaikan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

“Pihak pendakwaan akan merayu (pembebasan). Untuk pertuduhan lain yang belum selesai berkaitan pengubahan wang haram, kami akan memfailkan penangguhan sementara menunggu rayuan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di mahkamah di sini selepas prosiding tersebut, Muhyiddin berkata, keputusan hari ini membuktikan dakwaannya sejak awal lagi mengenai empat pertuduhan tersebut “bermotifkan politik”.

“Saya sentiasa merasakan bahawa tuduhan palsu yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan ini adalah satu penganiayaan politik. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan (mengikut) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana undang-undang lain.

Orang ramai melaungkan “referendum” dan “takbir” selepas Muhyiddin memberikan komen beliau – Gambar Scoop, 15 Ogos, 2023

“Saya akan terus bekerja keras untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana saya dianiaya. Ini tidak sepatutnya berlaku dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak tertentu,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan kepada mantan perdana menteri itu ialah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengetuai orang ramai melaungkan “referendum” dan “takbir” selepas Muhyiddin memberikan komen beliau.

Mengenai baki pertuduhan terhadap Muhyiddin, peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, walaupun pertuduhan itu belum selesai di mahkamah jenayah, keputusan hari ini bermakna ia tidak boleh berdiri secara sendiri.

Ini, katanya, kerana pertuduhan pengubahan wang haram adalah bergantung kepada pertuduhan penyalahgunaan kuasa predikat yang kini terbatal.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu), didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Selain empat pertuduhan, Muhyiddin juga menghadapi dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.

Muhyiddin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta.

Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan dengan kes-kes lain.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan petang ini berhubung keputusan tersebut.

Ditanya mengenai tiga lagi pertuduhan dihadapi Muhyiddin, Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan akan memohon di Mahkamah Sesyen agar perbicaraan kes itu ditangguhkan semasa sebutan kes 19 September ini.

“Buat masa ini arahan yang kami terima ialah memohon untuk menangguhkan kes itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya. – 15 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related