Nahas Elmina: Rider Foodpanda dalam perjalanan ambil sup ‘gearbox’ pelanggan

Bagaimanapun penghantaran sup itu terhenti dengan sendiri apabila sistem gagal mengesan pengemaskinian kedudukan Global Positioning System (GPS) Hafiz

2:45 PM MYT

 

KLANG – Penghantar makanan yang menjadi mangsa nahas pesawat Beechcraft Premier 1, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dipercayai dalam perjalanan mengambil sup ‘gearbox’ untuk dihantar kepada pelanggan di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Difahamkan Hafiz sebelum itu baru selesai menghantar makanan kepada seorang pelanggan di Jalan Elektron, U16 Shah Alam.

Perkara itu didedahkan oleh ketua ‘rider’ Zon Subang 2, Mohd Fairuz Imam Mahdi yang memaklumkan, mangsa baru sahaja selesai menghantar makanan dari sebuah restoran makanan barat di kawasan berkenaan dan sepatutnya berehat pada jam 3 petang.

Namun beliau menerima tempahan penghantaran dari sebuah kedai sup ‘gearbox’ di Bukit Jelutong ke rumah pelanggan di kawasan sama pada jam 2.41 petang.

“Sistem menyatakan dia menerima tempahan itu dan kemungkinan besar, dia dalam perjalanan ke Bukit Jelutong sebelum terbabit dalam nahas itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fairuz berkata, penghantaran sup itu terhenti dengan sendiri apabila sistem gagal mengesan pengemaskinian kedudukan Global Positioning System (GPS) Hafiz.

“Sekitar jam 2.57 petang, sistem penghantar terhenti dengan sendiri disebabkan mangsa tidak tiba di lokasi. Malah ketika itu GPS juga langsung tidak dapat kesan.

“Kami kumpulan penghantar menjangkakan ketika itulah mangsa terbabit nahas dan telefonnya juga mungkin meletup,” katanya yang berkata, mangsa sepatut berehat seketika dari tugasan pada jam 3 petang dan dijadualkan kembali bekerja pada jam 4.45 petang.

Mohd Fairuz berkata, kumpulan penghantar di Subang 2 sebenarnya tidak menjangkakan kejadian itu menimpa rakannya dan hanya mengetahui ia membabitkan Hafiz sekitar jam 8 malam sahaja.

“Rakan kami yang menjadi orang pertama menyebarkan video nahas juga tidak perasan ia adalah Hafiz kerana tiada tanda-tanda ia adalah penghantar Foodpanda,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakannnya, Mohd Noramin Ismail, 36, berkata, Hafiz kali terakhir berborak dalam kumpulan WhatsApp mereka pada jam 2.31 petang dan ketika itu mangsa menyampuk untuk bertanya khabarnya.

“Dia tanya khabar saya kerana mengatakan sudah lama tak nampak saya. Saya menyahutnya dan mengajak untuk bersama-sama mendapatkan makanan percuma yang diedarkan McDonald.

“Mungkin dia bertanya selepas selesai menghantar makanan di Jalan Elektron dan selepas itu mahu ke Bukit Jelutong,” katanya.

Katanya, Hafiz yang juga graduan Ijazah Kejuruteraan Pembinaan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), adalah sahabat yang baik dan sudah bertugas sebagai penghantar makanan sejak 2019 lagi.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat – 18 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related