4 sekeluarga sanggup turun dari Ipoh ke Putrajaya semata-mata sambut Hari Merdeka

Meskipun awal pagi tadi hujan lebat di Putrajaya, namun mereka tetap setia di situ sambil berpayung

9:25 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Empat sekeluarga sanggup menempuh perjalanan lebih 170 kilometer (km) dari Ipoh, Perak ke Putrajaya hanya untuk merasai sendiri kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Angelia Oswald, 15, ketika ditemui Bernama seawal 6.15 pagi di kawasan Dataran Putrajaya berkata beliau dan tiga ahli keluarganya bergerak dari Ipoh pada 12 tengah malam tadi dan tiba di Putrajaya kira-kira 4 pagi.

“Kami tak pernah datang ke sambutan Hari Kebangsaan dan hanya menonton melalui televisyen. Idea untuk ke Putrajaya ialah cadangan daripada kakak saya dan kami teruja untuk menyaksikan sendiri persembahan payung terjun dan pesawat nanti,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent itu.

Seawal 1 pagi, orang ramai sudah mula membanjiri pekarangan Dataran Putrajaya dan ada juga yang sanggup “berkampung” dan tidur di kaki lima bangunan untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan 2023 itu, yang kali kelima diadakan di Putrajaya.

Keterujaan menonton perarakan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut mendorong tiga sekawan “berkampung” di hadapan premis Pejabat Pos di Dataran Putrajaya di sini untuk memastikan mereka mendapat lokasi pemandangan terbaik bagi menyaksikan warna-warni sambutan hari ini.

Hakimi Tuan Muda, 26, berkata dia dan dua rakannya dari Puncak Alam, Selangor sampai di Dataran Putrajaya kira-kira pukul 1 pagi dengan menaiki kereta, usai menyambut ambang merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Sebaik sampai di sini, kami dapati kawasan ini sudah dipenuhi orang ramai. Kami hanya membentangkan kain untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu pagi. Kami rasa selamat tidur di sini kerana kawasan ini ada anggota polis yang meronda,” katanya yang mahu menonton perarakan “kakak polis” yang merujuk kepada kontinjen keselamatan negara.

Hakimi yang bekerja sebagai operator backhoe berkata keputusannya datang ke Putrajaya didorong selepas melihat video dan gambar raptai perarakan yang dikongsikan media dan orang ramai menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Bagi Mohd Akmal Mohd Noor, 27, dia datang ke sini bukan sahaja untuk menyaksikan perarakan badan beruniform tetapi lebih daripada itu, dia mahu menyemai rasa cintakan negara di hati anak perempuannya yang berusia tiga tahun.

“Walaupun dia masih kecil, saya lihat dia sangat seronok dan bersemangat. Dia hanya tidur satu jam sebab terlalu teruja nak datang ke sini bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan bersama rakyat Malaysia yang lain.

“Melalui perarakan ini, saya akan kenalkan dia dengan badan-badan beruniform yang ada di negara kita,” katanya yang datang dari Shah Alam bersama isteri dan keluarga iparnya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya semakin meningkat pada 4.30 pagi.

Pekerja sektor swasta Edward Lee dari Cyberjaya juga tidak ketinggalan membawa dua orang anaknya berumur tujuh tahun dan sembilan tahun untuk melihat sambutan hari bersejarah itu.

“Untuk kali pertama, saya nak beri mereka merasai pengalaman menonton sambutan itu dan lihat pelbagai persembahan kebudayaan pelbagai masyarakat Malaysia,” katanya yang ditemani pasangan dan anaknya dengan menaiki bas perantara Rapid KL dari Putrajaya Sentral.

Marsan Tijan, 47, dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata dia sekeluarga berada di Dataran Putrajaya sejak awal pagi tadi dan tidur di lokasi sambutan untuk menyaksikan kemeriahan acara Hari Kebangsaan.

Beliau berhasrat memenuhi permintaan anak bongsunya Mohd Aiman Zakwan, 6, yang ingin melihat aset ketenteraan seperti kereta kebal dan jet pejuang.

“Memang kami semua teruja, tadi dalam pukul 4 pagi hujan … kami tetap setia dengan payung sebab mahu duduk di tempat strategik lihat persembahan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 dengan tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” adalah kali pertama di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan buat kali kelima tahun ini selepas 2003, 2005, 2018 dan 2019. – 31 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related