Stok beras tempatan berkurangan, tauke Mydin persoal adakah pengilang guna taktik ‘tukar baju’?

Terdapat segelintir pengilang didakwa menukar bungkusan beras tempatan kepada bungkusan beras import kerana kenaikan harga bahan mentah itu

4:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) sejak tiga bulan lalu yang harganya dikawal oleh kerajaan menimbulkan spekulasi terdapat segelintir pengilang menggunakan taktik ‘tukar baju’ untuk mengaut keuntungan berikutan kenaikan harga beras import.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kumpulan itu dipercayai bertindak menukar bungkusan yang mengandungi beras tempatan kepada bungkusan beras import.

“Spekulasi dalam kalangan peruncit ialah boleh jadi segelintir pengilang gunakan taktik ‘tukar baju’. Maknanya, beras tempatan mereka ‘tukar baju’ pakai baju beras import kerana harga beras itu mahal.

“Jadi ada orang ambil kesempatan untuk ‘tukar baju’. Kalau tidak, soalan kita sekarang ini, beras tempatan pergi mana? Takkan boleh hilang macam tu saja. Takkan pula beras itu dihantar ke luar negara?” soalnya ketika dihubungi Scoop.

Menurutnya, situasi itu ada kemungkinan berlaku kerana bekalan beras SST5 sudah tiada lagi di pasaran sekitar tiga hingga enam bulan lalu.

Malah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu berkata, semua bekalan bahan mentah itu yang dijual di pasar raya tersebut merupakan beras import.

“Beras SST5 sudah tiada di pasaran. Pengilang dah tak hantar beras tersebut. Semua beras yang dijual di Mydin sekarang beras putih import. Jadi harga mahallah.

“Sebelum Padiberas Nasional Bhd (Bernas) keluar kenyataan naik harga, beras import berharga RM32 (10 kilogram). Tetapi dengan kenaikan RM7 untuk 10 kg, sekarang harga jadi RM39,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa masalah kekurangan beras SST5 sudah banyak kali dibangkitkan sebelum ini, tetapi ia masih berlarutan sehingga hari ini.

“Kekurangan beras SST5 dah (berlaku) tiga hingga enam bulan. Saya dah banyak kali buat kenyataan. Malah dalam mesyuarat dengan kementerian serta kerajaan, saya pun dah banyak kali beritahu ada masalah, jadi mereka pun dengarlah.

“Saya harap mereka buatlah tindakan sewajarnya, tetapi saya pun tak tahu apa mereka buat. Sekarang saya cuma nak tahu beras itu pergi mana? Kerajaan tahu tapi mereka tak nak beritahu saja,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bertemu dengan Bernas dan pesawah, Khamis ini, Ameer berkata, ia tidak akan menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sekian lama itu.

“Takkan jadi apalah. Pada saya, kerajaan dah sedia maklum, bukan cerita baru. Sekarang nasi dah jadi bubur.

“Bukan jumpa hari ini, esok boleh tanam padi, lusa dapat tuai padi. Mereka sudah tahu tiga hingga enam bulan dulu. Sekarang nak jumpa buat apa?” soalnya.

Sementara itu, beliau turut menasihati kerajaan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan retorik berhubung isu tersebut, sebaliknya perlu berterus terang mengenainya kepada rakyat.

“Janganlah jadi kerajaan seperti dulu yang selalu menafikan sesuatu perkara. Ini akan menambah lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan. Rakyat bukan bodoh.

“Seelok-eloknya janganlah kita menafikan. Sepatutnya buat kenyataan harga naik dan jelaskan punca kenaikan itu. Kemudian perincikan apa langkah akan diambil kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Terdahulu, Bernas memaklumkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu dari RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa Jumaat lalu.

Katanya, pelarasan harga bagi beras putih import di seluruh gudangnya di seluruh negara adalah sejajar dengan harga global semasa bagi beras putih import.

Bernas turut menjelaskan bahawa pihaknya sudah melaksanakan penyerapan kos kenaikan harga beras putih import sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengelakkan peningkatan harga bahan asas makanan tersebut. – 3 September, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related