Penduduk Kg Sg Baru terima notis kosongkan kediaman selewatnya 4 Oktober

Peguam menunjukkan notis daripada Pentadbir Tanah Kuala Lumpur, walaupun pada Januari lalu, PM mengarahkan supaya projek itu ditangguh

7:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru yang tanah penempatan mereka terletak di atas sebahagian daripada projek pembangunan semula, sehingga mencetuskan kontroversi bersama pemaju, diberikan notis pengusiran untuk mengosongkan kediaman masing-masing selewat-lewatnya pada 4 Oktober ini.

Arahan pengusiran itu diterima walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu, mengarahkan supaya projek itu ditangguhkan sementara menunggu rundingan dengan penduduk dan pihak berkepentingan.

Perkara itu didedahkan peguam Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru, Khairul Shahrizan Hamizi menerusi Twitter, dengan berkongsi notis pengusiran diterima penduduk pada jam 10 pagi hari ini.

Notis dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur itu menyatakan, pemilik rumah berkenaan didapati tinggal di tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara.

Peguam Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru, Khairul Shahrizan Hamizi menerusi Twitter, berkongsi notis pengusiran diterima penduduk pada jam 10 pagi hari ini – Gambar Twitter Khairul Shahrizan Hamizi, 5 September, 2023

Menurut notis itu, undang-undang menetapkan bahawa mereka yang didapati menduduki tanah atau rizab kerajaan tanpa kebenaran sah, antara lain, boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Ia juga menyatakan bahawa sebarang rayuan berhubung pengusiran, tidak akan dipertimbangkan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Scoop, Khairul berkata, walaupun penduduk tiada pilihan selain mematuhi notis terbabit, jawatankuasa bertindak akan memohon lanjutan daripada tarikh tertera yang meminta penduduk mengosongkan kediaman mereka.

“Penduduk terkejut dengan tindakan mengejut ini kerana ia bercanggah dengan pengumuman (Anwar) yang dibuat Januari lalu melalui setiausaha politiknya, Azman Abidin.

“Sebelum ini, kami diberitahu bahawa (Anwar) pada dasarnya mengumumkan pembangunan semula Kg Sg Baru dan proses pengambilan tanah, digantung sementara menunggu keputusan serta penentuan kerajaan sama ada meneruskan pembangunan semula atau tidak,” tambah Khairul.

Penduduk terkejut dengan tindakan mengejut ini kerana ia bercanggah dengan pengumuman yang dibuat Januari lalu – Gambar Scoop, 5 September, 2023

Beliau berkata, sejak pengumuman Anwar awal tahun ini, penduduk tidak menerima sebarang berita atau maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan, seperti Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Perbadanan Kemajuan Kg Baru.

Khairul berkata, pengusiran itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960, yang membenarkan kerajaan mengambil alih secara rasmi tanah di enklaf Melayu bersejarah itu pada Disember tahun lalu.

Bagi seorang penduduk Kg Sg Baru yang menerima notis itu, dia masih terkejut kerana menjangkakan Anwar akan ‘memberi keadilan’ kepada penduduk kawasan berkenaan yang kebanyakannya warga emas dan menetap di situ sepanjang hidup mereka.

“Bagaimana kita boleh diberi notis pengusiran sedangkan Perdana Menteri berkata, projek itu akan ditangguhkan untuk rundingan? Saya harap (Anwar) akan dapat campur tangan dan membantu kita menjelaskan isu ini.

“Adakah notis dikeluarkan ini bertentangan dengan pengumumannya (untuk menangguhkan projek)? Mengapa mereka tergesa-gesa mengusir kami, seolah-olah kami hanya anjing liar?” katanya kepada Scoop.

Penduduk kawasan Kg Sg Baru kebanyakannya warga emas dan telah menetap di situ sepanjang hidup mereka – Gambar Scoop, 5 September, 2023

Manakala, seorang penduduk enggan dikenali menambah, walaupun dia tidak mempertikaikan projek pembangunan semula dijalankan itu, pampasan ditawarkan Pejabat Tanah dan Galian tidak setimpal dengan nilai kediamannya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa penduduk Kg Sg Baru tidak berpuas hati dengan perbezaan 310 peratus pampasan ditawarkan Pejabat Tanah dan Galian, berbanding taksiran swasta.

Dalam satu kes, flat seorang penduduk bernilai RM470 sekaki persegi oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Kementerian Kewangan, manakala penilai bebas memaklumkan aset itu bernilai RM1,480 sekaki persegi.

Nasib penduduk Kg Sg Baru mula ‘terbongkar’ sejak 2016, apabila pemaju swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd berusaha membangunkan projek pembangunan mega berbilion ringgit di kawasan berkenaan.

Nasib penduduk Kg Sg Baru mula ‘terbongkar’ sejak 2016, apabila pemaju swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd berusaha membangunkan projek pembangunan mega berbilion ringgit di kawasan berkenaan – Gambar Scoop, 5 September, 2023

Sebagai pertukaran untuk kediaman mereka, Ritzy Gloss menjanjikan pemilik sejumlah unit baharu dalam pembangunan baharu itu, tertakluk kepada saiz lot penduduk.

Selepas hampir setengah dekad rundingan, Ritzy Gloss gagal meyakinkan lebih daripada 100 pemilik tanah, sekali gus menyaksikan syarikat itu memohon LAA.

Tawaran mereka kemudian diluluskan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Jabatan Perdana Menteri kini menyelia hal wilayah persekutuan. – 5 September, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Boycotted due to KK Mart name mix-up, Kedah seafood shop ‘shell’-shocked

Nur Hamidah, the owner of KK Fresh Mart in Kedah, clarified that the acronym stood for Kuala Kedah Fresh Mart, emphasising no association with KK Mart. 

Related