◉ HEADLINES

Isu beras perlu ditangani segera: Ahli Parlimen

1:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu kekurangan bekalan beras negara dan kenaikan harga beras import mendapat perhatian Ahli-Ahli Parlimen pada sesi perbahasan hari kedua usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mereka berpendapat masalah itu perlu ditangani dengan kadar segera bagi meredakan keresahan dalam kalangan rakyat memandangkan beras ialah makanan ruji di negara ini.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menampung kekurangan 38 peratus bekalan beras untuk kegunaan tempatan.

Beliau berkata negara berdepan saingan sengit dari Indonesia yang ketika ini mempunyai 42 peratus kekurangan bekalan beras tempatan dan Filipina yang merupakan negara pengimport beras terbesar di Asia Tenggara dengan nilai import mencecah kira-kira US$1.3 bilion pada 2021.

“Tambahan pula, kerajaan India telah menyekat eksport beras dari negara berkenaan yang telah melonjakkan harga jualan beras putih import di seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa 1 Sept 2023 iaitu kenaikan sebanyak 36 peratus.

“Kenaikan mendadak ini akan menyebabkan golongan B40 dan M40 semakin sukar untuk mendapatkan keperluan karbohidrat seharian seterusnya meningkatkan kerisauan rakyat Malaysia pada masa yang mencabar ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya mengimport bekalan beras dari negara pengeksport beras selain India seperti Vietnam, Thailand dan Pakistan dengan segera sebelum isu kekurangan bekalan itu menjadi lebih parah.

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata beras ialah barangan terkawal dan kerajaan seharusnya mencari jalan bagi mengawal harga agar ia tidak menjadi terlalu mahal sehinggakan tidak mampu dibeli oleh rakyat.

 “Jangan lupa bahawa selepas pandemik, ramai rakyat telah jatuh miskin …. Adakah garis kemiskinan yang diguna pakai untuk menentukan status kemiskinan isi rumah masih realistik dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan kadar inflasi semasa,” katanya.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula meminta kerajaan menambah stok bekalan beras yang didakwa sukar diperoleh ketika ini bagi menampung keperluan rakyat.

Beliau turut meminta kerajaan mengkaji harga beras import bagi memastikan ia tidak terlalu tinggi sehingga menyukarkan rakyat untuk mendapatkan bekalan itu.

Isu sekuriti makanan melibatkan kebergantungan terhadap hasil import beras juga dibangkitkan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang mencadangkan kerajaan untuk menumpukan kepada peningkatan penanaman padi di dalam negara.

“Mengapa negara kita Malaysia yang mempunyai tanah subur, hutan luas dan iklim bersesuaian tidak maju dalam sektor penanaman termasuk ternakan? …. Kita masih bergantung pada negara lain untuk mendapatkan bekalan makanan seperti beras. Apa jadi dengan projek jelapang padi negara?” katanya.

Beliau berkata Projek Jelapang Padi Batang Lupar di Sarawak melibatkan keluasan 5,100 hektar, namun hanya 196 hektar yang sudah lengkap manakala baki kawasan itu masih dalam proses pembinaan fasiliti dan sebagainya sejak projek itu dimulakan sehingga sekarang.

Beliau membangkitkan persoalan berkenaan projek itu memandangkan Projek Jelapang Padi Kota Belud, Sabah dengan keluasan projek lebih besar dan ditubuhkan pada masa yang lebih kurang sama, telah menyumbangkan hasil. – 13 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

MRCB stadium suit: Abdul Razak silenced, Hunter faces trial in absentia

Activist Abdul Razak bound by consent judgment in MRCB’s stadium redevelopment suit, permanently restrained from repeating allegations, while blogger Murray Hunter faces trial in absentia with judgment set for July 17

Exploring Perak’s ancient limestone formations: Gua Tempurung 

Brown signboards marking sites of cultural interest and recreation along the North South Highway and federal roads often inject some excitement at the possibility of making new discoveries, but many miss out on delving into an actual adventure due to other distractions.

Police to summon Zamri Vinoth over alleged threatening, racist remarks

This following a police report lodged against the remarks purportedly made during a TikTok live broadcast

◉ Related