HEADLINES

Juruterbang layak lakukan penerbangan, tiada bukti ketidakupayaan: Laporan awal nahas Elmina

Laporan turut menyebut kemalangan dan korban tidak boleh dielakkan kerana magnitud daya nyahpecutan serta kebakaran selepas kemalangan

10:32 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan awal kemalangan udara pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, mendapati juruterbang pesawat mempunyai lesen dan layak melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Laporan awal itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pagi ini, turut mendapati kejadian berlaku pada siang hari dengan penglihatan jelas dan keadaan meteorologi baik.

Selain itu, dapatan mendapati tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.

Laporan turut menyebut kemalangan dan korban tidak boleh dielakkan kerana magnitud daya nyahpecutan serta kebakaran selepas kemalangan.

Tambah MOT, penemuan tambahan akan dilampirkan dalam laporan akhir yang selesai selewat-lewatnya Ogos tahun hadapan.

“Ia selaras dengan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan itu untuk melengkapkan dokumen tersebut,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, analisis awal kotak perakam suara kokpit (CVR) yang pulih memberikan petunjuk kritikal kepada mendedahkan punca kemalangan itu, dengan tumpuan diberikan terhadap sistem kawalan penerbangan pesawat.

“Keputusan pemeriksaan bahagian pesawat yang berkaitan serta komponen di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan pengilang peralatan asal (OEM), diperlukan untuk menyediakan kolaboratif dan bukti konklusif dalam menentukan punca kemalangan,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang itu, 10 individu disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1, terhempas berhampiran kawasan perumahan Bandar Elmina, Shah Alam.

Lapan daripada individu terbabit adalah penumpang, selain dua kru pesawat, seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Tragedi itu turut mengorbankan Exco Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun. – 15 September, 2023

Topics

 

Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

22.4% fail SPM Maths — ‘That’s not just a number, it’s a national warning’

Poor foundational skills and declining global rankings signal long-term risks for Malaysia’s STEM talent pipeline, warns UKM academic

Related