Laporan buli babitkan petugas kesihatan pelbagai peringkat masih diterima, MMA gesa KKM bertindak segera

Isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menimbulkan ancaman besar kepada kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit

2:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memaklumkan masih menerima laporan budaya buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan awam di pelbagai peringkat melibatkan Ketua Jabatan (HOD), pakar, pegawai perubatan (MO), houseman dan kakitangan lain.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menimbulkan ancaman besar kepada kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya bertindak segera untuk menghentikan budaya kerja toksik ini yang telah berakar umbi dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

“Kita akan membawa perkara itu kepada KKM tidak lama lagi. Semua pekerja penjagaan kesihatan dari setiap peringkat harus berasa selamat dan dihormati apabila menjalankan tugas mereka.

“Demi kepentingan terbaik pesakit, semua pekerja penjagaan kesihatan awam juga harus bebas menyatakan kebimbangan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kita mesti komited secara kolektif untuk memupuk persekitaran kerja yang mengutamakan keselamatan pesakit dan kesejahteraan penyedia penjagaan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Dr Azizan berkata, MMA turut bimbang terhadap laporan mengenai pakar, terutamanya mereka yang belum mencapai status Pendaftar Pakar Kebangsaan (NSR), menghadapi tekanan berlebihan dan tidak wajar akibat persekitaran kerja toksik.

Jelas beliau, trend membimbangkan itu boleh memberi kesan yang ketara ke atas kualiti penjagaan pesakit dan berpotensi membawa kepada kehilangan bakat yang tidak ternilai jika tidak ditangani segera.

Oleh itu, beliau berkata, MMA menyarankan langkah segera diambil untuk menangani isu buli dan menambah baik persekitaran kerja penjagaan kesihatan awam, termasuk mekanisme maklum balas serta aduan lebih holistik dan tanpa nama.

“Mekanisme ini akan berfungsi sebagai saluran terus untuk melaporkan insiden gangguan, buli atau sebarang kebimbangan lain yang menjejaskan kesejahteraan tempat kerja termasuk saluran tanpa nama di mana penyedia penjagaan kesihatan boleh melaporkan isu secara terus.

“Ketua Jabatan juga mesti mengambil langkah memastikan persekitaran kerja kondusif yang mengutamakan keselamatan pesakit selain sistem komunikasi lebih terbuka dan telus serta tidak hanya mengharapkan laporan pengarah kesihatan negeri dan hospital semata-mata.

“Akta dan peraturan perubatan sedia ada juga harus disemak, kerana pada masa ini ia memerlukan aduan atau laporan sah untuk tindakan diambil,” katanya.

Dr Azizan berkata, dalam kebanyakan kes, mangsa takut dengan proses untuk menghukum orang yang mereka adu atau laporkan kepada pihak berkuasa.

“(Jadi) tindakan segera seharusnya boleh diambil terhadap mana-mana pesalah, tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka dalam institusi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan satu kajian dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, 64 peratus rakyat di negara ini mengalami beberapa bentuk diskriminasi dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Dalam tinjauan Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 yang dilaksanakan oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) terhadap 3,238 responden, 38 peratus mendedahkan mengalami diskriminasi dalam bentuk status sosioekonomi, 33 peratus kerana umur dan 32 peratus kerana etnik.

Elemen diskriminasi juga disebabkan faktor warna kulit dan bahasa (32 peratus), manakala tempat tinggal dan pendirian politik masing-masing (28 peratus), identiti gender (26 peratus), jantina (24 peratus), agama (22 peratus) dan keupayaan diri atau tahap kesihatan (19 peratus). – 15 September, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related