Projek Jana Wibawa: Muhyiddin mahu batalkan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram 

2:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhyiddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan yang dibuat mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Tatacara Jenayah itu akan difailkan secepat mungkin.

“Selain itu, kami juga akan mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mendapatkan kembali pasport anak guam (Muhyiddin),” kata Hisyam.

Muhyiddin, 76, tidak kelihatan pada prosiding hari ini kerana kehadirannya dikecualikan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua tujuh pertuduhan menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memohon agar pendengaran bagi permohonan untuk kesemua tujuh pertuduhan itu dibicarakan bersama, ditangguhkan pada tarikh lain.

“Ini kerana pihak kami memfailkan notis rayuan pada 15 Ogos dan petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan tertuduh (Muhyiddin) setelah membenarkan permohonan tertuduh untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan.

“Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes bagi rayuan itu pada 27 Sept ini. Kedua-dua pihak bersetuju tarikh sebutan kes di mahkamah ini pada 29 Nov,” katanya.

Hisyam tidak membantah terhadap penangguhan pendengaran dan tarikh sebutan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami mohon kehadiran anak guam kami (Muhyiddin) pada sebutan kes 29 Nov ini dikecualikan,” kata peguam itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan kes dan kedua-dua pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah tentang perkembangan pengurusan kes di Mahkamah Rayuan sebelum memutuskan tentang pengecualian kehadiran Muhyiddin.

“Perkembangan mengenai pengurusan kes itu perlu difailkan dalam sistem,” katanya.

Presiden Bersatu itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu. – 19 September, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related