Kedudukan Malaysia bakal diperkukuh melalui pertemuan antara lima pemimpin negara di luar Mesyuarat UNGA ke-78

Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin dari Turkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq

8:06 PM MYT

 

NEW YORK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu pemimpin dan kapten industri dari sekurang-kurangnya lima negara semasa lawatan kerja beliau ke sini dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia selain menarik pelaburan ke negara ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Anwar, yang dijadual menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada Jumaat ini, akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin dari Turkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq.

Zambry berkata Anwar juga akan bertemu bekas Perdana Menteri New Zealand Helen Clark, yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Inisiatif Ketelusan Industri Ekstraktif (Chair of the Extractive Industries Transparency Initiative Board), piawaian global bagi tadbir urus baik dalam industri minyak, gas dan mineral.

“Jadual Perdana Menteri amat padat sejurus tiba di sini pada Rabu bermula dengan mesyuarat dua hala bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. Malah kita terus mendapat permintaan daripada negara lain untuk bertemu beliau,” katanya.

Bercakap kepada media di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, Zambry berkata mesyuarat dengan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan mereka dan meneroka bidang kerjasama baharu.

“Iraq ingin belajar daripada kita dalam usaha mereka meneruskan usaha membina semula negara pascaperang. Ini merupakan peluang luas buat kita dalam bidang seperti petroleum dan gas,” kata Zambry yang berkunjung ke negara itu bulan lepas.

Iraq merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh terbesar dalam kalangan negara Timur Tengah dengan nilai dagangan tahun lepas sebanyak RM4.68 bilion (US$1.07 bilion), meningkat 24.3 peratus berbanding RM3.76 bilion (US$0.91 bilion) pada 2021.

Pada Khamis, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York, kata Zambry.

Perdana Menteri juga akan bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat (AS) seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International dan Procter & Gamble (P&G) semasa kedua-dua sesi.

Pada hari sama, Anwar akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.

Menurut Zambry, pada sesi itu Perdana Menteri dijangka membincangkan hubungan Malaysia-AS, kesan persaingan AS-China terhadap Malaysia serta kepentingan diplomasi Malaysia di Asia Tenggara.

Semasa di New York, Perdana Menteri juga dijadual ditemu bual oleh Christiane Amanpour dari CNN pada Rabu dan Bloomberg pada keesokan harinya. – 19 September, 2023

Topics

Hangat

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related