◉ HEADLINES

Bajet 2024: Bantu PKS berdikari, hentikan senario ‘usahawan geran’

Bagi perusahaan kecil dan sederhana, keadaan ketika ini dilihat sebagai lebih mencabar berbanding semasa tempoh pandemik COVID-19, ketika sektor industri mula dibuka kembali

10:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap dapat membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berdikari dengan peralihan dari geran langsung kepada geran padanan, pinjaman berfaedah rendah dan jaminan pembiayaan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, perkara itu menjadi harapan pihaknya menjelang Bajet 2024 sekali gus sebahagian daripada usaha untuk menghentikan senario ‘grantpreneur’ ataupun ‘usahawan geran’.

“Ini untuk memastikan bantuan kerajaan dapat diagihkan kepada seberapa ramai PKS yang boleh.

“Selain itu kami berharap kerajaan mewajibkan pendaftaran semua perniagaan dalam sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga agensi termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corp.

“Ia untuk memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan data dan kesesuaian serta menghentikan aktiviti orang tengah,” katanya kepada Scoop hari ini.

Bajet 2024 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober ini.

Datuk William Ng juga berharap kerajaan dapat mengecilkan jurang pembiayaan untuk PKS supaya lebih berdaya saing – Gambar media sosial, 2 Oktober, 2023

William turut menyarankan supaya PKS dapat dinaik taraf dalam rantaian nilai menerusi pembinaan keupayaan dan kapasiti untuk membekal kepada syarikat antarabangsa melalui program pemadananan dan pembinaan keupayaan intensif.

“Seterusnya harapan kami supaya kerajaan dapat mengecilkan jurang pembiayaan untuk PKS supaya lebih berdaya saing.

“Antaranya menyediakan dana sebanyak RM2 billion untuk pinjaman berfaedah rendah dengan had RM1 juta bagi setiap syarikat yang layak.

“Selain memberi penurunan cukai sebanyak dua peratus bagi pendapatan bercukai RM300,000 yang pertama supaya penjimatan ini dapat disalurkan kembali untuk membangunkan syarikat,” katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim berkata, pihaknya berharap berharap kerajaan dapat mempertimbangkan sistem kutipan cukai yang lebih mesra PKS.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim berkata, pihaknya berharap berharap kerajaan dapat mempertimbangkan sistem kutipan cukai yang lebih mesra PKS – Gambar Scoop, 2 Oktober, 2023

Beliau berkata, ini kerana ada ahli persatuan yang sehingga kini belum mendapat bayaran balik cukai terlebih bayar yang dibuat ketika pandemik lalu.

“Syarikat perlu membuat bayaran hadapan bagi cukai pendapatan, jadi ada ahli yang terlebih bayar cukai namun sehingga kini masih belum dapat bayaran balik.

“Jadi kita cadang pembayaran cukai dibuat setiap suku tahun berbanding bayaran ke hadapan bagi setiap tahun. Kita harap kerajaan dapat teliti perkara ini dalam Bajet 2024, mungkin ada cara  yang lebih mesra,” katanya.

Tambah beliau, keadaan industri ketika ini juga lebih mencabar berbanding semasa tempoh pandemik COVID-19, ketika sektor industri mula dibuka kembali.

“Saya rasa lebih 20 peratus peniaga dah gulung tikar, sekarang lebih mencabar berbanding ketika pandemik lalu, kos untuk membayar pekerja, sewa, bil utiliti semua meningkat.

“Masa pandemik memang mencabar tapi sekurangnya harga minyak tak tinggi, ada juga rebat diberi, termasuk oleh pemilik premis.

“Sekarang banyak perniagaan tidak boleh bertahan malah pelanggan juga tidak berbelanja seperti dulu, lebih berjimat,” katanya. – 2 Oktober, 2023

Topics

 

◉ Hangat

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

Unofficial tally: GRS dominates Sabah election as BN and Warisan make gains, DAP defeated

Early results show GRS leading with a strong foothold, while BN and Warisan see notable victories. DAP fails to retain any seats in a dramatic shift

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related