HEADLINES

PN perlu 3 atau 4 ‘katak melompat’ untuk realisasikan impian Muhyiddin: Shahrir

Shahrir menyindir Muhyiddin kerana menjadikan PRK DUN Pelangai sebagai laluan untuk membentuk kerajaan baharu di Pahang

4:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana masih mengintai peluang untuk membentuk kerajaan baharu di Pahang jika parti itu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurut veteran Umno itu, PN memerlukan tiga atau empat ‘katak politik’ melompat daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) sekiranya ingin merealisasikan impian Muhyiddin.

“Di PRK Pelangai, Muhyiddin tetap mengharapkan PN menubuhkan kerajaan negeri dengan (Datuk Seri) Tuan Ibrahim (Tuan Man) sebagai Menteri Besar.

“Sekarang Muhyidin mengharapkan pula kepada ‘Langkah Pelangai’ sama seperti ‘Langkah Sheraton’ bagi menubuhkan sebuah kerajaan ‘tebuk atap’. Muhyiddin asyik berharap untuk ‘tekan butang’?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin tidak menolak gabungan itu kini mengintai peluang untuk membentuk kerajaan Pahang sekiranya calon PN, Kasim Selamat mendapat mandat rakyat pada 7 Oktober ini.

Beliau berkata, PRK Pelangai adalah medan untuk untuk rakyat khususnya majoriti Melayu memberikan isyarat jelas kepada gabungan itu mengubah kepimpinan kerajaan negeri.

“Tambah satu (Pelangai), jadi 18… kurang empat saja (kerusi PN di Pahang), kot-kot (mana tahu) esok bangun pagi entah ada ahli yang berhormat Umno masuk jemaah kita.

“Menteri Besar kita ada dekat sini, Tuan Ibrahim. Insya-Allah bakal Menteri Besar Pahang,” katanya.

Media melaporkan terdapat poster tular dalam media sosial memaparkan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang pada PRK DUN Pelangai.

Terdapat juga desas-desus menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai ada empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.

Allahyarham yang juga exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Pada pilihan raya itu, Allahyarham menewaskan Kasim dari PN; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) dan Isa Ahmad (Pejuang) dengan majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru. – 4 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related