Permohonan ke TVET hanya perlu melalui satu saluran sahaja: Zahid

Ini bagi mengelakkan pertindihan permohonan dan kita juga dapat melihat minat mereka di samping mengelak ketidakpadanan kursus yang dilaksanakan

6:42 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu melalui satu saluran sahaja mulai 30 Oktober ini dan permohonan boleh dibuat menerusi portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) di https://mohon.tvet.gov.my.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia melibatkan permohonan untuk memasuki 1,334 institusi TVET di seluruh negara dan peserta boleh memilih kursus serta pusat Latihan TVET yang mereka mahu.

“Ini bagi mengelakkan pertindihan permohonan dan kita juga dapat melihat minat mereka di samping mengelak ketidakpadanan kursus yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara Kerajaan bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta, di sini hari ini.

Tambahnya, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) yang dipengerusikannya hari ini, yang turut dihadiri ahli MTVET melibatkan barisan Menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri dan tokoh akademia.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan adalah berasaskan teknologi tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui dan kursus melibatkan permintaan daripada pasaran guna tenaga terutama daripada pelabur asing di negara ini.

“Keputusan itu dibuat supaya pihak pelabur memperolehi pekerja mahir terlatih yang dapat terus diserap ke syarikat berkenaan,” katanya.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau menjangkakan bidang teknologi tinggi dan tenaga boleh diperbaharui ini akan memanfaatkan 3.5 juta peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Justeru, beliau sudah mengarahkan Sekretariat TVET supaya menyediakan pelan hala tuju bagi menterjemahkan Dasar TVET 1.0 hingga 2030 dan Dasar TVET 2.0 sehingga 2050.

“Apa yang kita lakukan ini ialah kita harus keluar dari kepompong latihan konvensional TVET selain mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan,” katanya.

Mengulas lanjut Zahid berkata, kebolehpasaran graduan TVET ketika ini meningkat melebihi 92 peratus manakala sebanyak 7.5 peratus daripadanya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Justeru, beliau mahu TVET dijadikan pilihan utama dan masa depan bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan mengurangkan tahap pengangguran negara.

“Kita telah melakukan langkah proaktif termasuk mewujudkan dana pembiayaan ketika pembelajaran mereka di TVET dengan disertakan elaun dan terdapat beberapa kursus yang sediakan gaji lebih RM2,500 supaya terdapat pengekalan peserta dalam kursus berkenaan.

“Ini sedang dilakukan Kementerian Sumber Manusia dan kita akan selaraskan perkara ini di kementerian lain melalui agensi dan institusi TVET melalui kursus yang distrukturkan mengikut kehendak pasaran,” katanya. – 5 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related