MetMalaysia jangka jerebu tidak berpanjangan: Nik Nazmi

Operasi pembenihan awan akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot dengan mencatat tahap bacaan 151 hingga 200 melebihi 24 jam

11:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan jerebu melanda negara ketika ini tidak akan berpanjangan memandangkan tiupan angin yang kerap berubah, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, bagaimanapun, operasi pembenihan awan akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot dengan mencatat tahap bacaan 151 hingga 200 melebihi 24 jam.

“Kementerian melalui MetMalaysia bersedia melakukan operasi pembenihan awam di bawah penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian ketika sesi penerangan berhubung situasi semasa jerebu di negara ini pada persidangan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata MetMalaysia turut menyediakan ramalan sehingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan berdasarkan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS).

“Output ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web MET Malaysia (http://bencana.met.gov.my),” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, situasi pembakaran terbuka di seluruh negara adalah terkawal dan tiada sebarang kes pembakaran terbuka berskala besar yang menyebabkan jerebu tempatan berlaku sepanjang tempoh jerebu yang melanda negara pada masa ini.

“Bagi tempoh sehingga 30 Sept lalu, sebanyak 3,922 aduan kes pembakaran terbuka telah diterima oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan 80 peratus kes melibatkan pembakaran sampah sarap dan sehingga Julai lalu, hanya enam kes pembakaran terbuka berskala besar yang besar di Semenanjung Malaysia dan Sabah antara Mac hingga Julai lalu,” katanya.

Bilangan titik panas di dalam negara pada tahun ini juga berkurangan secara signifikan iaitu 714 titik yang dikesan berbanding 2,091 pada 2019 dan penurunan ini memberi impak positif terhadap aktiviti penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan oleh JAS bagi membanteras insiden pembakaran terbuka.

Beliau berkata selain itu pada bulan depan, negara dijangka akan memasuki fasa Monsun Timur Laut yang membawa tiupan angin yang konsisten dari arah Laut China Selatan di antara 20 hingga 30 kilometer (km) sejam.

Menurutnya, keadaan itu akan membawa beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak sekali gus mampu membantu menghilangkan masalah itu.

Sementara itu, dalam sesi penggulungan sesi penerangan berkenaan, Nik Nazmi berkata kerajaan akan mengkaji keperluan bagi menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan kerana ia melibatkan isu teknikal dan perundangan antarabangsa.

Katanya, untuk melaksanakan akta berkenaan agak sukar dan mencabar sekiranya ia melibatkan perjanjian secara unilateral.

“Namun, kita akan kaji secara mendalam tentang keperluan transboundary haze act untuk kita melihat bagaimana ambil tindakan (pencemaran jerebu rentas sempadan) sekiranya perlu,” katanya.

Menyentuh mengenai tindakan terhadap kerajaan kepada pihak yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan terhadap negara ini, Nik Nazmi berkata buat masa ini, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan diplomasi terhadap mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

“Setakat ini, kita juga tiada membuat tuntutan ganti rugi ke atas mana-mana negara atau mana-mana syarikat soal punca jerebu. Kita ambil rundingan dan kesepakatan untuk mencari penyelesaian dalam hal ini,” katanya. – 9 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Zus Coffee in hot water over ‘one-off activity’ with under-boycott Adidas

Coffee chain company issues apology and says it was not a collaboration, vowing to be more careful and asserting it 'unequivocally condemns any acts of violence against humanity'

Related