Sanusi mengaku sebut ‘MB’ semasa ucapannya, tetapi tidak petik ‘Selangor’

Beliau juga mendakwa tidak pernah menuduh MB Selangor menyalahgunakan kuasanya

2:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku ada menyebut perkataan ‘MB’ dalam ucapannya, namun tidak mengeluarkan perkataan ‘Selangor’ dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Ia adalah antara penegasan beliau dalam pernyataan pembelaan difailkan bagi pihak Sanusi menerusi prosiding saman difailkan Amirudin terhadap pemimpin itu yang sedang berlangsung.

Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos lalu, selepas Sanusi mendakwa beliau terbabit dalam skandal dikaitkan dengan projek pembersihan Sungai Klang, ketika berucap di satu daripada perhimpunan ‘Mega PN Best Sayangi Kedah Sejahtera’ dianjurkan Perikatan Nasional (PN).

Sanusi dalam ucapan itu, turut mendakwa Amirudin memberikan tanah seluas 600 hektar kepada pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan yang didakwa bertujuan membangunkan projek bernilai RM10 bilion.

Dalam pernyataan pembelaannya seperti dipetik daripada Scoop yang difailkan pada 10 Oktober, Sanusi menyatakan bahawa peranannya sebagai Pengarah Pilihan Raya PN menjadikan beliau bertanggungjawab untuk mendedahkan sebarang isu tadbir urus dan kebocoran berlaku dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

“Defendan (Sanusi) adalah seorang ahli politik yang berdepan tuduhan dan fitnah daripada ahli politik PH-BN.

“Defendan dituduh menyalahgunakan kuasanya dalam kecurian unsur nadir bumi (REE) dan wang yang diperuntukkan kepada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) oleh ahli politik PH-BN, terutama Menteri Dalam Negeri.

“Mengambil kira kedudukan defendan sebagai ahli politik yang sentiasa dituduh dan difitnah ahli politik PH-BN, defendan mengambil langkah untuk membuat pendedahan selepas pembongkaran mengenai isu tadbir urus dan ketirisan yang berlaku.

“(Selain itu) diketahui bahawa perang kata-kata antara plaintif (Amirudin) sebagai MB Selangor daripada PH dan defendan sebagai MB Kedah daripada PN sudah lama berlaku, seterusnya memuncak apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir dan pelbagai siri ucapan, diterbitkan yang menunjukkan ‘perang kata-kata’.

“Malah, Sanusi mengatakan Amirudin sendiri dalam banyak keadaan, mengeluarkan kenyataan mengutuk dan memfitnah beliau dengan tuduhan fitnah tidak berasas, selain komen berniat jahat seperti semasa satu daripada ucapannya dalam ‘Program Jelajah Madani’ di Bukit Melawati pada 13 Julai atau pada sidang media selepas pelancaran program Madani Afiat, Gotong-Royong Mega Fight Aedes 1.0 dan Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 selama satu jam pada 9 Julai lalu.

“Oleh kerana plaintif sendiri sudah mengeluarkan kata-kata fitnah dan tuduhan terhadap defendan, defendan terpaksa membela diri dengan membangkitkan isu tadbir urus yang menjadi perbualan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat berkaitan pentadbiran plaintif.

“Isu dibangkitkan ialah isu kepentingan awam (yang) berdasarkan fakta sebenar.

“Oleh itu, tindakan plaintif memfailkan fitnah terhadap defendan adalah cubaan untuk menutup gelagat plaintif sendiri yang turut membuat kenyataan fitnah terhadap defendan.

“Perang politik kata-kata adalah perkara biasa dalam kalangan ahli politik, asalkan ia berdasarkan isu dan fakta sebenar,” katanya.

Sanusi juga mendakwa beliau tidak pernah menuduh Amirudin sebagai individu yang akan menyalahgunakan kuasa atau terbabit amalan rasuah.

Tegasnya, beliau tidak pernah mendakwa Amirudin secara langsung menyebabkan Selangor atau kerajaan negeri kehilangan atau mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM180 juta.

“Apa dinyatakan defendan ialah (mengenai) projek mengenai Sungai Kelang yang berpotensi mencatatkan kerugian sekurang-kurangnya RM180 juta dan tidak mengaitkannya secara langsung dengan plaintif.

“Defendan tidak pernah membuat tuduhan bahawa plaintif adalah Menteri Besar tidak berkelayakan, tidak cekap dan korup yang mengamalkan kronisme serta pilih kasih dan pastinya, tidak pernah ada tuduhan bahawa plaintif bersekongkol dengan peniaga, pembela pelindung ahli perniagaan Cina, memihak dan memperkayakan ahli perniagaan Cina,” katanya.

Bagaimanapun, Sanusi bersetuju bahawa kenyataan dibuatnya berhubung laporan polis yang menyebabkan beliau ditahan pihak berkuasa itu pada pukul 3 pagi, berhubung dakwaan beliau menghina Sultan Selangor adalah fakta sebenar.

“Namun, oleh kerana plaintif juga menuduh defendan bahawa beliau ‘insolent’ sebelum sebarang pertuduhan mahkamah dibuat, defendan (oleh itu) mengkritik plaintif sebagai pengecut dalam isu itu,” katanya – 13 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related