HEADLINES

Netanyahu penuhi janji, Israel mula misi serangan darat ke Semenanjung Gaza

Tentera Israel memaklumkan gerakannya mengambil kira sasaran tertentu, malah mendakwa sudah membunuh beberapa pejuang Hamas dan merosakkan infrastruktur

2:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Janji’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu Rabu lalu bahawa Zionis akan melancarkan serangan darat ke Semenanjung Gaza menjadi kenyataan, apabila tentera dan kereta kebal negara berkenaan sudah memulakan misi tindakan itu.

Walaupun dalam pendedahannya berhubung rancangan menyerang darat Gaza berskala besar itu, Netanyahu tidak memaklumkan bila ia akan dimulakan, video aksi serangan semalaman dikeluarkan tentera Israel semalam, menunjukkan kenderaan berperisai melalui zon sempadan berpasir.

Malah, sebuah jentolak dilihat meratakan sebahagian daripada tebing yang dinaikkan, manakala kereta kebal melepaskan peluru dan letupan kelihatan berhampiran atau di tengah-tengah deretan bangunan rosak.

“Semalam, IDF melakukan serbuan bersasar menggunakan kereta kebal di utara Semenanjung Gaza, sebagai sebahagian daripada persediaan untuk pertempuran peringkat seterusnya.

“Tentera keluar dari kawasan itu pada akhir aktiviti terbabit,” menurut tentera Israel menerusi kenyataan dilaporkan media antarabangsa.

Radio Tentera Israel pula memaklumkan, Israel membuat beberapa tindakan awal ke Semenanjung Gaza sejak dua setengah minggu lalu, tetapi serangan kali ini adalah yang terbesar dalam perang semasa.

Al Jazeera melaporkan, tentera Israel memaklumkan bahawa pihaknya bergerak dengan mengambil kira sasaran tertentu, malah mendakwa sudah membunuh beberapa pejuang Hamas dan merosakkan sejumlah besar infrastruktur yang boleh digunakan kumpulan Palestin.

Mereka juga menyatakan bahawa mereka sudah menyasarkan pos kawalan anti kereta kebal yang didirikan pihak terbabit.

“Ini jelas sebagai persediaan untuk menghadapi perang peringkat seterusnya,” kata wartawan agensi berita itu.

Netanyahu mendedahkan rancangan serangan darat Semenanjung Gaza itu, ketika beberapa negara serta rakyat antarabangsa menggesa supaya konflik Israel dan Palestin dihenti segera.

Katanya, keputusan bila serangan itu bakal dilancar akan ditetapkan Kabinet Perang Israel.

Beliau turut mengakui tenteranya sudah membunuh ribuan pengganas dan tindakan itu hanya permulaan.

“Saya tidak akan menjelaskan persiapan kami lakukan dan sebahagian besarnya tidak diketahui masyarakat dan memang begitu sepatutnya,” katanya menerusi kenyataan di televisyen.

Sementara itu, menurut agensi berita global, Presiden Perancis, Emmanuel Macron sejak awal memberi peringatan bahawa rancangan Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza akan menjadi ‘kesilapan’.

Tegasnya, walaupun beliau berpendapat Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri, serangan terbabit hanya akan membahayakan orang awam, tanpa menjamin keselamatan jangka panjang negara berkenaan. – 27 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Related