HEADLINES

Harga ayam boleh didapati lebih rendah selepas diapungkan: Armizan

900 pegawai pemantau harga akan digerakkan ke semua kawasan esok untuk memantau harga ayam dan mengambil tindakan perundangan jika perlu

6:40 PM MYT

 

SERDANG – Harga ayam boleh didapati dengan lebih rendah berbanding harga siling yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram (kg), meskipun kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam bermula esok.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemain industri telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa harga ayam tidak akan naik mendadak mulai 1 November serta memberi jaminan bekalan ayam mencukupi.

“Setelah pelaksanaan (subsidi dan kawalan harga ayam) selama 20 bulan, kita melihat dengan jaminan daripada industri bahawa kita boleh apungkan harga ayam.

“Pihak industri juga memberikan jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi dan mereka berupaya untuk menjual pada kadar lebih rendah daripada harga kawalan (sebelum ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini hari ini.

Meskipun telah mendapat jaminan daripada pihak industri, Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetap menggerakkan 900 pegawai pemantau harga ke semua kawasan esok untuk memantau harga ayam dan mengambil tindakan perundangan jika perlu.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 per kg.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November, manakala melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Beliau berkata penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, selain meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan berkata KPDN kini dalam proses akhir untuk meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713) yang dijangka dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun hadapan.

Beliau berkata pindaan terhadap Akta 712 antaranya memasukkan komponen baharu dikenali rejim kawalan penggabungan bagi mengawal selia sekiranya wujud elemen kecenderungan syarikat untuk bergabung dan berpakat dalam mengehadkan harga dan pengeluaran. 

Menurutnya, sejak 2012 hingga Oktober 2023, MyCC telah mengambil tindakan terhadap 247 syarikat dengan penalti kewangan mencecah RM175 juta kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 712 manakala 430 kes masih dalam siasatan.

Topics

 

Hangat

Horror at Bangkok shopping mall as two Malaysians set on fire in unprovoked attack

A Thai man set fire to the tourists after dousing them with paint thinner, with bystanders quickly intervening to restrain him

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

22.4% fail SPM Maths — ‘That’s not just a number, it’s a national warning’

Poor foundational skills and declining global rankings signal long-term risks for Malaysia’s STEM talent pipeline, warns UKM academic

Related