HEADLINES

Stampa akan diheret ke Mahkamah Jenayah, suara Malaysia didengar di Madrid 11 Disember: Azalina

Mahkamah Madrid sendiri yang telah menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Dr Gonzalo Stampa

10:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Disember ini atas dua kes jenayah berkaitan final award kepada Kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Mahkamah Madrid sendiri yang telah menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Stampa dan jika beliau didapati bersalah atas pertuduhan itu, beliau akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh Kerajaan Malaysia. Ini bukan tuntutan sivil tetapi Stampa berhadapan dengan tuntutan jenayah.

“Ini adalah faktor utama yang memberikan consistency kepada kesimpulan Kerajaan Malaysia bahawa award yang diberi oleh Stampa selaku penimbang tara antarabangsa adalah satu pelaksanaan award yang boleh dilihat sebagai tidak sah dan tidak berasas,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina kini berada di London untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan Kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan mereka, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif.

Menurut Azalina, award yang diumumkan oleh Stampa ke atas Kerajaan Malaysia sebanyak US$14 billion dilihat sebagai satu ‘fraud award‘ kerana mahkamah yang melantik beliau sebagai penimbang tara ialah mahkamah sama yang telah menarik pelantikannya.

“…tetapi beliau (Stampa) masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan melompat ke negara lain untuk melaksanakan keputusan yang telah beliau buat terhadap Kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah bagi Kerajaan Malaysia, tuntutan kes jenayah yang dilakukan beliau yang ditetapkan pendengaran pada 11 Disember amat penting untuk kita mematikan segala tuntutan yang telah dilaksanakan oleh Stampa,” katanya.

Tambah Azalina, kerajaan Malaysia akan menghadiri prosiding kes itu kerana Malaysia merupakan pengadu.

“Macam kes jenayah di Malaysia, kalau kita buat laporan polis kita kena masuk mahkamah untuk memaklumkan kita yang buat laporan itu. Jadi suara kerajaan Malaysia akan didengar oleh Mahkamah Jenayah Madrid… sebab kita konsisten dalam pernyataan dan alasan kita tentang sifat beliau (Stampa) yang melanggar undang-undang timbang tara antarabangsa,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pada 6 Jun lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.

Stampa telah memberikan award akhir sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – 9 November, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Related