Dr Akmal gesa Alexander mohon maaf tidak sensitif isu Palestin

Kenyataan Alexander itu ternyata bercanggah dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mendukung solidariti buat rakyat Palestin

10:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno kesal dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyokong supaya Sarawak tidak menerima pelarian Palestin.

Menyifatkan kenyataan dikeluarkan Alexander itu sebagai tidak sensitif, Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Akmal Saleh menyifatkan ia tidak sepatutnya dikeluarkan seorang menteri Kabinet, tambahan Malaysia antara negara yang menunjukkan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman Israel.

Dr Akmal turut kecewa dengan tindakan Alexander menggelar Palestin sebagai sebuah negara terkenal dengan unsur ‘keganasan, kemarahan dan kebencian’.

Malah, beliau mempersoalkan dalam keadaan rakyat Palestin berdepan penderitaan dan kesukaran, adakah Malaysia sanggup ‘berpeluk tubuh’.

Justeru, Dr Akmal menuntut Ahli Parlimen Kapit itu menarik balik kenyataan terbabit dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Adakah YB Menteri (Alexander) menyifatkan Palestin terkait sebagai ‘countries known for violence, anger and hatred’? Sebaliknya yang wajar disifatkan sebagai ‘violence, anger and hatred’ adalah Israel bukan Palestin.

“Saya lihat tidak ada masalah sekiranya ada usaha untuk membantu mereka yang ditindas dan dizalimi (untuk) ditawarkan perlindungan. Dalam keadaan begitu sulit buat mereka, nyawa melayang, adakah Malaysia tergamak membiarkan begitu sahaja?

“Saya menggesa YB Alexander Nanta Linggi, sekiranya benar kenyataan ini dibuat, sila tarik semula dan memohon maaf secara terbuka. Dalam keadaan warga Malaysia dan warga dunia berdukacita terhadap kekejaman yang melanda rakyat Palestin, kenyataan ini menambahkan lagi kekecewaan tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi kenyataan dilaporkan sebuah media Sarawak, Alexander didakwa menyokong penuh terhadap pendirian badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis Sarawak yang enggan ‘membuka pintu’ negeri berkenaan untuk menerima pelarian dari Palestin.

Alexander berkata, perkara itu berteraskan kepada pendirian Sarawak yang tidak akan menerima pelarian, lebih-lebih lagi mereka yang berasal dari negara dikenali dengan keganasan, kemarahan dan kebencian.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, kenyataan Alexander itu ternyata bercanggah dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mendukung solidariti buat rakyat Palestin yang teruk dibedil bom tentera Israel sejak 7 Oktober lalu.

“Saya kesal dengan kenyataan yang juga memperlihatkan sikap penting diri dan tiada kepedulian terhadap kekejaman sedang dilakukan kepada mereka (rakyat) di sana (Palestin).

“Bercanggah sama sekali dengan aspirasi dibawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) di Persidangan Khas OIC yang menegaskan kedudukan serta solidariti Malaysia terhadap Palestin.

“Malangnya seorang daripada Menteri Kabinetnya membuat kenyataan cukup dangkal dan kontradik dari semangat terbabit,” katanya. – 13 November, 2023

Topics

Hangat

Kemunculan ular sawa besar di Petaling Jaya kejutkan penduduk, ‘ia keluar sebab sekarang musim panas…’

Penduduk di Seksyen 17, Petaling Jaya gempar dan terkejut dengan kemunculan seekor ular sawa besar yang menyusuri longkang di kawasan itu.

Umno sambut ulang tahun ke-78 dengan solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat

Ini merupakan tahun kedua majlis tersebut diadakan tanpa kelibat bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Specify crucial years for asset declaration: Mirzan, Mokhzani tell MACC

Tun Dr Mahathir Mohamad's sons, facing difficulties obtaining records spanning 43 years, say many documents impossible to obtain as they no longer exist

Related