HEADLINES

Jawatankuasa khas gubal undang-undang syariah bersidang 4 Disember depan

Mesyuarat itu akan dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara

3:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji isu melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan penggubalan undang-undang syariah akan bersidang buat pertama kalinya pada 4 Disember depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan seorang mantan Ketua Hakim Negara itu bakal menetapkan hala tuju dalam pelaksanaan, kajian dan penyelididikan serta mengesyorkan permasalahan dalam perundangan Islam di Malaysia.

“Ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan konflik bidang kuasa persekutuan dan negeri serta antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Ia (ditubuhkan) demi memartabatkan dan memperkasakan perundangan dan kehakiman syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung perkembangan cadangan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengenai penubuhan jawatankuasa khas untuk melaksanakan kajian terhadap kompetensi DUN dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan nama individu yang akan menganggotai jawatankuasa khas itu.

Sebaliknya, Mohd Na’im hanya memaklumkan, ia akan dianggotai bekas hakim, wakil Jabatan Peguam Negara (AGC), wakil Kehakiman Syariah Negara, wakil majlis agama Islam negeri, ahli akademik yang pakar dalam undang-undang sivil, syariah dan Perlembagaan Persekutuan serta peguam syarie dan sivil.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperkenan Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa mempengerusikan mesyuarat MKI, pada 28 Ogos lalu.

Anwar berkata, jawatankuasa khas itu akan melakukan penelitian termasuk berbincang dengan mufti dan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini. – 21 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related