PRK Kemaman: Jika Samsuri menang, mungkin ‘ganggu’ tugas MB, rugikan rakyat

Penganalisis berkata, sebagai MB, tugas utama Ahmad Samsuri adalah memberikan 100 peratus tumpuan kepada pembangunan Terengganu memandangkan ia masih belum mencapai taraf negeri maju dan kaya

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pencalonan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berisiko mengakibatkan ‘gangguan’ terhadap tugas hakikinya sebagai peneraju negeri berkenaan, sekiranya beliau memenangi pemilihan itu.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Yusri Ibrahim berpendapat, jika keadaan itu berlaku, ia menyebabkan kerugian kepada rakyat Terengganu, terutama apabila fokus calon PAS terbabit ‘tersasar’ dalam aspek pembangunan negeri apabila terpaksa membahagikan masa dan tugas untuk peranan tambahan.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, tugas utama Ahmad Samsuri adalah memberikan 100 peratus tumpuan kepada pembangunan Terengganu memandangkan ia masih belum mencapai taraf negeri maju dan kaya.

Calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) dari Barisan Nasional dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS. – Gambar Bernama, 23 November, 2023

“Bagi saya, bila Datuk Seri Ahmad Samsuri dicalonkan, ia agak merugikan untuk aspek pembangunan Terengganu. Ini kerana ia dah mengganggu tugas seorang Menteri Besar yang sepatutnya perlu berikan fokus penuh kepada aspek pembangunan negeri.

“Pada saya, pembangunan Terengganu agak terkebelakang dan bukan negeri kaya serta maju, jadi sebagai MB (Menteri Besar) adalah menjadi tugas beliau beri lebih perhatian kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Jika Ahmad Samsuri menang, pasti fokusnya akan lebih ke Parlimen, sidang Parlimen pula banyak sesi dalam setahun. Ia sedikit sebanyak akan mengganggu fokusnya sebagai Menteri Besar,” katanya kepada Scoop.

Namun, Yusri berkata, Ahmad Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam yang juga Naib Presiden PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, mempunyai peluang besar untuk menang di (PRK) Kemaman, memandangkan dia memiliki kelebihan status sebagai ketua eksekutif kerajaan paling tinggi di Terengganu.

“Sudah tentu Dr Sam ada kelebihan untuk menang sebab prestasi beliau yang ok, tiada sebarang isu besar membabitkan dirinya.

“Bila ketua kerajaan negeri bertanding, rakyat sudah mengenali dan yakin dengan kepimpinannya, jadi ya itu menjadi antara faktor boleh menjadi penyumbang kemenangan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr G Manimaran berpandangan walaupun jika dilihat di atas kertas, PAS dijangka boleh mencapai kemenangan mudah, parti itu tidak boleh sesekali ‘memperkecilkan’ keupayaan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Manimaran berkata, sebagai seorang bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Mohamed Affandi mempunyai karisma tersendiri yang mampu menambat hati pengundi di Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh pengundian awal, manakala 2 Disember untuk hari mengundi. Gambar Facebook SPR, 23 November, 2023

“Saya melihat apabila BN meletakkan muka baharu pastinya ia akan beri saingan buat Ahmad Samsuri. Beliau (Mohamed Affandi) sendiri membesar di Kemaman, jadi sudah tentu beliau ingin menabur jasa kepada masyarakat dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Melihat kepada pola pengundian hari ini, semuanya boleh berubah yang mana kita sendiri tak boleh jangka…biarpun kita melihat PAS mempunyai peluang cerah untuk menang apabila meletakkan Menteri Besar sebagai calon mereka,” katanya.

PRK Kemaman yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ahmad Samsuri dan Mohamed Affandi terpaksa diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh pengundian awal, manakala 2 Disember untuk hari mengundi.

Menerusi rekod SPR, seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu, termasuk 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera. – 23 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related