LKAN 2022: Dapat RM260 juta tapi tidak bentang KPI, ‘tunjuk ketidakcekapan UiTM Holdings urus pelaburan’

Keadaan ini menunjukkan ketidakcekapan UiTM Holdings mengurus pelaburan dalam syarikat subsidiarinya

1:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat milik penuh Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) didapati tidak dilapor, dibentang dan dipantau Lembaga Pengarah.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendapati secara keseluruhannya bagi tempoh 2019 hingga 2022, UiTM Holdings tidak mencapai kesemua KPI empat bidang fokus yang disasarkan iaitu kewangan, strategi dan kelestarian, pembangunan modal insan serta pematuhan.

UiTM Holdings hanya mencapai KPI antara 32% hingga 46% berbanding sasaran bagi tempoh itu. Pencapaian KPI yang amat rendah di peringkat UiTM Holdings ini tidak dibincangkan atau diambil tindakan sewajarnya termasuk dinilai semula oleh Lembaga Pengarah.

“Berdasarkan KPI yang disediakan, dua bidang fokus yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pelaburan UiTM Holdings ialah KPI Kewangan serta KPI Strategi dan Kelestarian dengan jumlah sasaran kedua-dua KPI adalah sebanyak 80%. 

“Bagaimanapun, KPI Kewangan hanya mencapai antara 16% hingga 32% berbanding sasaran manakala KPI Strategi dan Kelestarian hanya mencapai hingga 6% dalam tempoh 2019 hingga 2022.

“Keadaan ini menunjukkan ketidakcekapan Uitm Holdings mengurus pelaburan dalam syarikat subsidiarinya. Selain itu ketiadaan pemantauan Lembaga Pengarah memberi kesan terhadap pencapaian KPI UiTM Holdings,” kata laporan itu.

LKAN 2022 juga melaporkan suntikan modal sebanyak RM259.98 juta oleh UiTM kepada UiTM Holdings tidak mempunyai kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173). 

“Proses kelulusan bagi penyaluran modal dalam UiTM Holdings oleh UiTM adalah tidak teratur kerana tidak selaras Akta 173, Akta 598 dan Garis Panduan Pelaburan untuk institut pengajian tinggi awam (IPTA) April 2004.

“Aktiviti pelaburan dalam bidang perniagaan tenaga pula adalah kurang cekap dan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek jana kuasa solar elektrik berskala besar berkaitan pertukaran syarat nyata tanah; hakisan tanah di kawasan Projek UiTM Solar Park I; dan pemasangan kabel. 

“Selain itu, bagi projek jana kuasa solar elektrik solar bumbung, didapati kelemahan pelaksanaannya berkaitan kecacatan pembinaan serta keselamatan peralatan,” katanya.

Tambah laporan itu, kedudukan kewangan UiTM Holdings kurang stabil bagi tempoh 2019 hingga 2022 dengan rekod perbelanjaan melebihi pendapatan, kerugian sebelum cukai dan kerugian terkumpul yang meningkat dari 2021 hingga 2022.

Susulan itu, Audit mengesyorkan antaranya Lembaga Pengarah UiTM Holdings hendaklah memantau pencapaian KPI Kumpulan UiTM Holdings supaya pencapaian sebenar syarikat dibincangkan serta penambahbaikan disyorkan.

“Pengurusan UiTM perlu memastikan semak dan imbang dilaksanakan serta mendapatkan kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Kewangan sebelum sesuatu pinjaman dan suntikan modal diberikan kepada syarikat subsidiari UiTM kerana tiada lagi kelulusan secara retrospektif diberikan oleh MoF.

“Pengurusan UiTM dan UiTM Holdings perlu menyelesaikan dengan segera isu pertukaran syarat nyata tanah UiTM Solar Park I,” katanya. – 22 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Related